Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan peruntukan sebanyak RM90 juta bagi vaksin pneumococcal untuk 500,000 kanak-kanak disifatkan peruntukan yang sangat dinanti-nantikan.
Beliau yang merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2021 khususnya berkaitan sektor kesihatan.
Ini termasuk pemberian one-off sebanyak RM500 kepada petugas barisan hadapan KKM yang berperang menangani Covid-19.
“Peruntukan RM90 juta untuk vaksin pneumococcal kepada 500,000 kanak-kanak melalui Program Imunisasi Kebangsaan sememangnya sesuatu yang amat dinanti-nantikan,” tulisnya pada akaun Twitter hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 mengumumkan sejumlah RM90 juta disediakan untuk vaksin pneumococcal kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Kebangsaan.
Dalam masa yang sama RM6 juta diperuntukkan bagi perolehan ubat biologik bagi penyakit seperti Rheumatoid Arthritis.
Kerajaan turut memperuntukkan RM24 juta untuk Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substan.
Ini kata Zafrul selaras dengan keperluan Talian Sokongan Psikososial KKM yang menerima lebih 35,000 panggilan sejak Mac hingga Oktober 2020.
B40 juga dijangka bakal menerima RM50 menerusi Program Baucar Perlindungan Tenang sebagai bantuan kewangan membeli produk program itu dengan pengecualian duti setem sehingga 2025. -MalaysiaGazette