KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen melahirkan rasa tidak puas hati dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang sepatutnya lebih fokus kepada menangani pandemik Covid-19.
Kata Wong Chen dalam laman sosial Facebooknya, bajet ini sangat optimis dari segi unjuran dan pertumbuhan pendapatan.
“Tidak banyak perkara pada saya untuk tangani Covid-19 dengan lebih serius, hanya RM17 bilion. Pada jangkaan saya, pembentangan kali ini akan peruntuk sekurang-kurangnya sekitar RM40 hingga RM50 bilion bagi dana pandemik ini.
“Kementerian Kewangan (MOF) dari segi peruntukan sebenarnya tidak menghiraukan enam cadangan utama Pakatan Harapan (PH). Adakah ini ‘sayonara’ kepada Belanjawan Perpaduan 2021? Nampaknya seperti itulah.
“Saya memerlukan seluruh hujung minggu ini untuk membuat kajian membaca serta meneliti semua hampir 1,000 muka surat jika digabungkan. Saya sudah ‘letih’ secara mental dan hanya mahu berehat sekarang, rasa seperti menduduki peperiksaan,” tulisnya.
Enam idea yang diusulkan PH kepada Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Perpaduan 2021 ialah;
1. Meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk Wabak COVID-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan peruntukan khas untuk menangani krisis COVID-19 di Sabah
2. Memperluas perlindungan sosial, jaring keselamatan dan pembayaran kebajikan bagi golongan berisiko dan menganggur dengan meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 sehingga krisis COVID-19 berakhir seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri di Sandakan pada 30 Ogos yang akan menelan belanja RM12 bilion
3. Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021 yang akan menelan belanja RM6.4 bilion
4. Meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dengan menawarkan insentif selama 2 tahun untuk majikan dan pekerja yang akan menelan belanja RM13 bilion
5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kesinambungan pendidikan; dan
6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.
Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendedahkan Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak enam cadangan dikemukan oleh mereka. – MalaysiaGazette