Home Nasional Hanya RM5.85j untuk pelancongan Selangor, SAFTTA hampa

Hanya RM5.85j untuk pelancongan Selangor, SAFTTA hampa

Seorang pekerja hotel menolak troli yang kosong ketika tinjauan lensa Malaysia berkenaan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) hampa dengan peruntukan yang diumumkan oleh kerajaan negeri kerana hanya memperuntukkan RM5.85 juta untuk membangun dan merancakkan kembali industri pelancongan Selangor.

Peruntukan kecil ini boleh dianggap memadai jika ianya disalurkan terus untuk membangunkan kembali sektor pelancongan.

Cuma yang khuatiri adalah peruntukan yang sebegini kecil perlu dikongsi dengan perbelanjaan mengurus, kata Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad.

Sebagai perbandingan, Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM14.11 juta untuk pembangunan kawasan Bukit Bendera, RM2 juta untuk pembangunan Eko-Pelancongan dan
lagi RM2 juta untuk meningkatkan seni dan budaya di Pulau Pinang.

Melalui peruntukan ini, didapati begitu seriusnya Kerajaan Pulau Pinang memacu semula sektor pelancongan di sana.

Sebagai negeri yang menerima kemasukan pelancong paling ramai di Malaysia, Selangor sepatutnya menunjukan lebih komitmen didalam membantu penggiat pelancongan di Selangor didalam menghadapi pasca Covid-19 ini.

Untuk rekod, pada 2019, Selangor merekodkan kedatangan seramai 33.6 juta pelancong dengan perbelanjaan sebanyak RM15.5 bilion iaitu yang tertinggi di Malaysia.

Oleh itu, katanya, sewajarnya Kerajaan Selangor turut mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian cukai tanah dan cukai pintu serta pengecualian lesen perniagaan kepada semua penggiat pelancongan sama ada agensi pelancongan, hotel mahupun peniaga PKS di Selangor.

Langkah ini pastinya dapat membantu penggiat pelancongan terus bertahan dan kekal relevan didalam merancakkan kembali pelancongan di Selangor.

”Harapan kami supaya peruntukan yang telah diumumkan ini akan sampai kepada penggiat pelacnongan dalam kadar segera, tidak seperti insentif khas pemandu pelancong sebanyak RM1,000 seorang yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Selangor pada bulan Julai yang lalu, namun setelah lebih 3 bulan, insentif ini masih tidak diterima oleh mereka,” katanya.

Untuk membincangkan perkara ini, SAFTTA akan memohon untuk mengadakan pertemuan bersama Exco Pelancongan Selangor yang baharu serta Menteri Besar Selangor bagi membincangkan perkara ini bagaimana kerajaan negeri dapat membantu penggiat pelancongan di negeri ini, tambah Fathir.