KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke suku akhir selepas menang tipis 1-0 mengatasi pendatang baharu kancah Piala Malaysia, Kuching FA pada aksi pusingan 16 kalah mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor malam tadi.
Jaringan tunggal pemain muda, Arif Aiman Mohd. Hanafi berjaya mengelak skuad Harimau Selatan berputih mata untuk mara ke saingan suku akhir dan akan berdepan Kuala Lumpur di laman sendiri pada 12 November ini.
Skuad Harimau Selatan yang menguasai perlawana sejak minit pertama akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 hasil bola umpanan Natxo Insa yang menyaksikan Diogo Luis Santo sempat mendada bola memberi peluang Arif Aiman yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.
Arif Aiman hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-35 selepas bertindak berani menyusup masuk ke dalam kotak penalti pelawat namun bola rembatan leret itu tidak mampu menewaskan Mohd Iqbal yang sudah bersedia menangkap bola.
Sementara itu, juara Liga Perdana, Pulau Pinang mengesahkan tempat di suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan pasukan Liga Super, FELDA United FC 3-1 di Stadium Bandaraya.
Lawan skuad Harimau Kumbang di suku akhir nanti adalah pemenang perlawanan antara UiTM FC dan Kelantan yang akan membuat perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, esok.
FELDA United bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan hanya seminit selepas bersambung babak kedua apabila percubaan jarak dekat Nicolas Velez berjaya menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Samuel Somerville.
Kedudukan itu berubah lagi apabila tuan rumah kembali berada di depan hasil jaringan menarik Amer Azahar pada minit ke-62.
Changhoon Lee mengukuhkan kedudukan Harimau Kumbang apabila sepakan percumanya pada minit ke-76 terus menerjah jaring untuk tuan rumah mendahului 3-1 dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat. – MalaysiaGazette