Home Sukan Piala Malaysia: Kedah bergelut ke suku akhir

Piala Malaysia: Kedah bergelut ke suku akhir

Foto Facebook Kedah FA.

KUALA LUMPUR – Kedah layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas membenam Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Star malam tadi walaupun mendahulu 3-0 pada separuh masa pertama.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan Kedah mengejutkan Pahang hasil tandukan Shakir Hanzah pada minit ke-17 berpunca dari sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Pahang terus tertekan apabila Kedah menambah gol pada minit ke-35, sekali lagi melalui tandukan Sherman yang menerima hantaran cantik Tchetche dari sebelah kiri gawang pelawat.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah menambah derita skuad Tok Gajah dengan gol ketiga melalui umpanan pemain sayap Faizat Ghazli kepada Tchetche yang disambut dengan rembatan padu ke arah penjuru kiri.

Tiga minit selepas babak kedua bermula, Pahang mendapat gol pertama hasil tandukan Muslim Ahmad yang berjaya menewaskan Azri Ghani, berpunca dari sepakan percuma pemain tengah, Nor Azam Azih.

Pahang sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila pengadil Muhammad Nazmi menghadiahkan sepakan penalti selepas pertahan Kedah, Renan Alves menarik baju Adam Michael namun sepakan Nwakaeme sekadar terkena tiang.

Pelawat akhirnya berjaya merapatkan jurang hasil sumbangan pemain gantian, Faizal Abdul Rani pada minit ke-88. – MalaysiaGazette