KUALA LUMPUR – Seramai empat jemaah tabligh yang selesai menjalani proses perbicaraan di Buxar, India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.40 petang semalam.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan kepulangan empat individu itu yang menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India, kementerian telah membawa pulang seramai 180 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.
“Masih terdapat seramai sembilan ahli jemaah tabligh di India yang sedang menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.
Beliau berkata sebelum ini, seramai 176 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 Sept, 9, 14, 23 dan 30 Okt 2020.
Kamarudin berkata semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
— BERNAMA