PUTRAJAYA – Seramai 27 orang warga asing yang menjadi gadis pelayan atau GRO dengan tips maksimum RM2,000 sehari ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di pusat hiburan terletak di Jalan Kuchai Lama di ibu kota semalam.
Selain itu, dua warga tempatan termasuk salah seorang daripadanya dipercayai ibu ayam yang cuba meloloskan diri pada mulanya turut ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang bermula pada jam 8 malam itu dijalankan oleh Unit Quick Response Team dan Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya dengan kekuatan seramai 18 orang pegawai.
Ujar beliau, premis tersebut mempunyai beberapa orang Tonto yang mengawasi sekitar kawasan premis berkenaan bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.
“Semasa serbuan ada cubaan melarikan diri oleh wanita GRO dan juga beberapa lelaki warganegara asing menggunakan pintu berada di belakang pentas berdekatan tandas wanita sehingga ada yang sanggup gadai nyawa supaya mengelak daripada ditahan tetapi digagalkan oleh pegawai yang sudah mengepung sejak awal lagi di sekitar premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan, pusat hiburan tersebut menerima kunjungan pelanggan yang ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19.
Seramai 115 orang yang berada di dalam premis berkenaan diperiksa dan seramai 27 orang yang terdiri daripada 18 orang wanita warganegara Vietnam, tiga wanita Thailand, tiga wanita masing-masing warga Filipina, Laos dan Kemboja.
Sementara itu, tiga lelaki Myanmar disyaki pekerja premis itu juga ditahan.
“Sebanyak 80 orang warga tempatan yang sedang berhibur dan bermesra di pusat hiburan tersebut didapati gagal mematuhi SOP PKPB iaitu tidak memakai pelitup muka dan juga gagal mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya lagi.
Tambah Khairul Dzaimee, pusat hiburan itu juga menggunakan pelekat atau lebih dikenali sebagai token stickers kepada para pelanggannya.
Menurutnya, nilai pelekat tersebut bermula dari RM100 hingga RM1,000 yang mana pelanggan akan memberikannya sebagai tips kepada wanita pelayan yang mereka pilih di pusat hiburan tersebut.
“Hasil soal siasat awal, wanita –wanita warganegara asing yang bekerja sebagai GRO boleh mendapatkan tips minimum RM500 hingga RM2,000 dalam masa sehari dan mereka memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial bertempoh 30 hari.
“Hasil pemeriksaan awal kebanyakan mereka juga memasuki Malaysia sebelum sekatan perjalanan keluar masuk negara dikenakan oleh kerajaan pada Mac lalu.
“Mereka juga langsung tidak dapat membuktikan ada membuat pendaftaran atas talian dengan JIM untuk pulang ke negara asal dan cuba menyalahgunakan kemudahan yang diberikan dengan menjalankan aktiviti-aktiviti sebegini selain mengaut keuntungan yang besar dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dengan berselimut sebagai pelancong.
“Malahan ada juga antara wanita itu yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan juga memegang pas isteri kepada warganegara tetapi bekerja sebagai GRO,” ujarnya.
Khairul Dzaimee juga memaklumkan hasil pemeriksaan juga mendapati pusat hiburan tersebut hanya mempunyai lesen perniagaan restoran dan kedai makan bukan lesen hiburan atau kelab malam.
Tambah Khairul lagi,terdapat juga beberapa pelanggan yang berada dalam pengaruh alkohol tidak memberikan kerjasama kepada pasukan operasi sehingga cuba merempuh pegawainya kerana mahu melarikan diri.
“Kami telah menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyerahkan pelanggan-pelanggan yang ada dalam premis tersebut untuk diambil tindakan atas pelanggaran SOP PKPB dan sebanyak 29 kompaun pelanggaran SOP telah dikeluarkan oleh pihak PDRM ke atas pelanggan yang berada di lokasi pada masa itu,” katanya.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen, katanya.
Kesemua tahanan itu ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan yang ditahan selepas serbuan telah dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu. Setelah keputusan ujian saringan diperoleh dengan keputusan kesemua mereka adalah negatif, kesemua tahanan ini dibawa ke Ibu Pejabat Putrajaya untuk proses dokumentasi,” katanya.
JIM akan memanjangkan maklumat premis perniagaan itu kepada pihak berkuasa tempatan terlibat supaya tindakan yang bersesuaian dapat dilakukan.- MalaysiaGazette