KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM5.1 bilion yang dihulurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada Sabah untuk infrustruktur negeri itu membuktikan pemerintah masih mampu memberikan dana besar walaupun negara dalam keadaan ekonomi mencabar disebabkan pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun jumlah itu kurang sedikit berbanding peruntukan tahun ini, namun RM5.1 bilion yang diberikan menerusi Belanjawan 2021 masih memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
“Kita bersyukur dan berharap, daripada sejumlah peruntukan itu Kementerian Kerja Raya negeri akan mendapat agihan lebih banyak memandangkan peruntukan tinggi diperlukan bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur.
“Ia termasuk kerja menambah baik kualiti jalan persekutuan, jalan raya di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekalan air, menaik taraf sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan di bawah kawalan JKR,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menyifatkan, Belanjawan 2021 sebagai bajet menyeluruh kerana banyak lagi peruntukan lain diberikan kepada Sabah termasuk RM3.8 bilion bagi kesinambungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Jelasnya, peruntukan itu adalah untuk memulihkan pelaksanaan projek berkenaan selain memulakan Pakej Serusop ke Pituru sejauh 21 kilometer yang menghubungkan Tuaran dan Kota Belud yang sebelum ini menjadi ‘missing link’.
Tambahnya, JKR Sabah berharap bukan saja 11 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah diluluskan sebelum ini diteruskan, malah, baki 24 pakej lagi dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun depan.
Secara keseluruhan tambah beliau, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah mempunyai 35 pakej dengan 11 pakej sedang dalam pelaksanaan, satu pakej ditender semula di Tawau, tiga pakej dalam pemilihan kontraktor pelaksana, manakala, baki 20 pakej belum dimulakan.
“Kita berharap kerajaan persekutuan dapat meluluskan peruntukan segera bagi melaksanakan baki 20 pakej lagi agar pelaksanaannya dapat dimulakan seawal RMK-12 ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, peruntukan yang diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021 mencerminkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri berkenaan.
“Penyambungan semula projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sudah pasti akan membawa limpahan ekonomi kepada akyat dan memberi keyakinan kepada pelabur masuk ke Sabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette