Home Nasional Sebenarnya KKM terima lebih banyak peruntukan – KSU

Sebenarnya KKM terima lebih banyak peruntukan – KSU

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada pemotongan peruntukan terhadap kementerian itu seperti yang dicanangkan oleh sesetengah pihak.

Ini bermakna semua program dan aktiviti termasuk berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) tetap akan diteruskan tanpa sebarang masalah, kata Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Chen Chaw Ming.

Malah tegasnya, peruntukan sebanyak RM19 juta telah diberikan untuk menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang mana merupakan satu inisiatif tambahan untuk menangani masalah NCD.

“Matlamat utama KKM adalah untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada semua rakyat.

“Covid-19 adalah satu kes yang khusus dan unik dan disebabkan Covid-19, peruntukan kepada KKM telah ditambah (dalam Belanjawan 2021).

“Tiada isu peruntukan untuk program NCD dikurangkan disebabkan peruntukan dialihkan kepada Covid-19,” katanya semasa taklimat media hari ini.

Jelas beliau lagi, dakwaan yang mengatakan peruntukan KKM dikurangkan berlaku apabila bekalan perubatan serta bahan habis guna sebanyak RM4.29 bilion telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus).

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2020

Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion diletakkan di bawah Butiran Komitmen Kewangan.

Manakala peruntukan sebanyak RM2.065 bilion bagi Perkhidmatan Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) telah dipindahkan daripada Peruntukan Mengurus kepada Peruntukan Pembangunan.

Sebelum ini, semua peruntukan bagi tujuan bekalan perubatan bagi keperluan farmasi hospital, klinik kesihatan termasuk klinik pergigian diletakkan di bawah aktiviti dan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“KKM masih menjadi antara kementerian yang menerima peruntukan yang besar setiap tahun selepas Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kewangan.

“Pada tahun ini juga serupa. Kami tetap menerima peruntukan besar daripada jumlah keseluruhan belanjawan (walaupun bekalan perubatan dan bahan habis guna telah diasingkan).

“Sebenarnya jika dikira, kami menerima peruntukan yang lebih banyak berbanding apa yang telah ditarik keluar (pengasingan).

“Mengapa berlakunya pengasingan tersebut, itu adalah strategi Kementerian Kewangan.

“Tetapi kami gembira kerana tetap menerima peruntukan yang besar dalam belanjawan kali ini,” katanya lagi.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min bercakap pada Sesi Taklimat Media Berkenaan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2020

Tambah Chaw Ming, kementerian-kementerian lain juga menerima inisiatif dan insentif berkaitan kesihatan seperti saringan kanser serviks oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta program MySalam.

Selain itu, Chaw Ming turut menyatakan penghargaannya kepada kerajaan kerana memperuntukkan RM30 juta untuk menubuhkan taska-taska untuk anak petugas barisan hadapan walaupun peruntukan tersebut tidak disalurkan melalui KKM.

Jelasnya, inisiatif tersebut bakal meringankan lagi beban petugas barisan hadapan yang tidak perlu lagi risau tentang penjagaan anak-anak mereka semasa keluar bertugas.

Dalam Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan sebanyak RM31.9 bilion, meningkat berbanding RM30.6 bilion pada tahun 2020.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berhubung pembinaan Hospital Penyakit Berjangkit sebelum ini, Chaw Ming berkata, permohonan telah pun dibuat kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Bagaimanapun, projek sedemikian katanya, pasti akan mengambil masa yang agak panjang untuk dilaksanakan.

Menyentuh mengenai peruntukan hampir RM163 juta khusus untuk menangani penularan Covid-19 di Sabah, beliau berkata, KKM berusaha sehabis baik untuk mengawal keadaan di negeri itu.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min (tengah) hadir pada Sesi Taklimat Media Berkenaan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2020

“KKM sedang berusaha sehabis baik (dengan menggunakan dana tersebut) dan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah peruntukan, kami akan sediakan.

“Kami sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai status petugas-petugas kesihatan kontrak seperti doktor dan ahli farmasi, Chaw Ming berkata, dasar yang dibuat kerajaan pada 2016 menyebabkan mereka hanya ditawarkan kontrak bagi mendapatkan latihan.

Selepas itu, pengambilan pekerja tetap adalah bergantung kepada kekosongan yang ada.

“Kami cuba untuk menyerap seramai boleh petugas kontrak ke jawatan tetap namun dasar tersebut telah dibuat oleh Kementerian Kewangan.

“Ketika Covid-19 melanda, sumber manusia memang tertekan dan kami sangat memerlukan lebih banyak tenaga kerja.

“Namun begitu kami hanya menawarkan jawatan kontrak selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan serta hospital swasta,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.