Home Nasional Ahmad Jauhari selesai diambil keterangan

Ahmad Jauhari selesai diambil keterangan

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya ketika di lokasi dua helikopter bertembung dan terhempas di Jalan Melawati, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2020.

AMPANG – Dua mangsa yang terselamat iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan telah dirakamkan keterangan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, keterangan kedua mereka diambil di tempat kejadian helikopter yang terhempas jam 12 tengahari tadi.

“Keterangan Datuk Ahmad Jauhari telah diambil di sini dan hantar ke hospital. Kemungkinan kalau diperlukan akan dipanggil kemudian,” kata Mohamad Farouk.

Ahmad Jauhari dan Chai Elan dilihat berada di tempat kejadian dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut pada jam 3.15 petang tadi dengan kenderaan polis.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berkata, bangkai helikopter milik My HeliClub itu akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk siasatan lanjut.

“Bangkai hantar ke Subang Sistematik Aviation Services (SAS) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut akan dibuat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Polis dalam pada itu merayu kepada mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan.

Kata Mohamad Farouk, keterangan saksi di tempat nahas telah diambil.

“Kami mohon saksi yang merakam kejadian untuk tampil ke Balai Polis Taman Melawati dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk membantu siasatan.

“Saksi kita tengah kumpul, saksi di tempat kejadian kita telah ambil dan saksi awam kita tengah kumpulkan,” katanya lagi.

Polis mengklasifikasikan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, dua lelaki disahkan maut dalam nahas membabitkan dua helikopter yang dipercayai bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari tadi di Taman Melawati, Ampang Selangor.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, dan Mohd Irfan Fikri, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. – MalaysiaGazette