KUALA LUMPUR- Sebanyak 852 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini termasuk 13 kes import menjadikan keseluruhan kes positif adalah 40,209 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 11,689 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan terdapat empat kematian pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 di negara ini adalah 286.
Jumlah pesakit yang telah pulih pada hari ini pula adalah sebanyak 825 kes menjadikan keseluruhan yang sudah pulih adalah 28,234 atau 70.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif.
Mengulas lanjut mengenai kes pada hari ini, Dr. Noor Hisham berkata, Sabah terus merekodkan kes baharu harian tertinggi dengan 524 kes (61.5 peratus) diikuti Selangor (136 kes), Negeri Sembilan (104 kes), Labuan (23 kes), Pulau Pinang (18 kes), Kuala Lumpur (11 kes), Perak (tujuh kes), Melaka (lima kes), Kedah (tiga kes), Sarawak (dua kes), Putrajaya (dua kes), Johor (satu kes), dan Terengganu (satu kes).
“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi 13 kes import pula, Dr. Noor Hisham berkata, ia melibatkan lapan warganegara Malaysia dan lima warga asing.
Terdapat tiga kes melibatkan individu baru tiba dari Indonesia dan Arab Saudi, dua kes dari Nepal, masing-masing satu kes dari Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Turki.- MalaysiaGazette