BAITULMAQDIS – Palestin telah menanti selama tiga tahun untuk menyaksikan Presiden Amerika Syarikat ditukar dan sekali gus berharap agar butang “reset” di antara mereka dan Washington dapat ditekan.
Setakat ini masih tiada respon daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas selepas kemenangan Joe Biden pada Sabtu namun keputusan utama yang perlu dibuat oleh pemimpin itu adalah sama ada beliau mahu menyambung semula hubungan politik dengan AS atau tidak, lapor Reuters.
Tiga tahun lepas, Abbas memutuskan hubungannya dengan White House kerana mendakwa dasar-dasar Presiden Donald Trump terlalu pro-Israel.
Ini termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan Kedutaan AS ke bandar tersebut.
“Kami tidak mengharapkan satu perubahan ajaib tetapi sekurang-kurangnya kami berharap dasar-dasar Trump yang destruktif dihentikan sepenuhnya,” kata ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin, Hanan Ashrawi.
Tambahnya, AS sepatutnya mengubah cara berhubung dengan Palestin dan bertanyakan soalan-soalan berasaskan perundangan, kesaksamaan dan keadilan dan bukannya kerana kepentingan istimewa pelobi-pelobi pro Israel dan sebagainya. – MalaysiaGazette