Home Belanjawan 2021 Belanjawan 2021: Memperkasa TVET Melonjak Potensi Sumber Manusia

Belanjawan 2021: Memperkasa TVET Melonjak Potensi Sumber Manusia

Seorang kanak-kanak perempuan tidak melepaskan peluang untuk mencuba simulator kren pada Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2018

BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2021 merupakan belanjawan paling besar dalam sejarah negara. Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan terbesar dan seperti lazimnya, bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) mendapat perhatian utama dalam membangunkan ekonomi negara menerusi pemerkasaan sumber tenaga manusia. Sejumlah RM29 juta diperuntukkan bagi tujuan memperkasakan TVET pada tahun 2021. Umum memaklumi TVET merupakan bidang pendidikan dan latihan kemahiran berfokuskan kepada pemupukan kemahiran secara praktikal dan alami. Ia bukan sahaja menyediakan sumber manusia untuk memasuki pasaran kerja tetapi juga  eningkatkan ketrampilan pekerjaan bagi mereka yang sedang dalam perkhidmatan. Dua tumpuan utama terhadap TVET ialah latihan komprehensif dalam bentuk reskilling dan upskilling. Kedua-dua bentuk latihan ini sangat bertepatan dan kena pada masanya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik CovidID-19 yang menyaksikan ramai pekerja hilang pekerjaan. Tentunya kerajaan tatkala merangka belanjawan 2021 memikir dan mempertimbangkan akan nasib golongan pekerja seperti ini.

Golongan yang kehilangan pekerjaan ini wajar mengambil peluang dan kesempatan daripada belanjawan 2021 untuk menaik taraf pengetahuan dan kemahiran sedia ada bagi meningkatkan ketrampilan pekerjaan yang membawa nilai tambah kepada kemahiran kebolehgajian, Ini secara tidak langsung dapat membuka lebih ruang kebolehpasaran diri dalam pasaran kerja. Pelbagai bentuk peruntukan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan menerusi belanjawan 2021 memberi indikator bahawa kerajaan bersikap cakna terhadap keperluan golongan yang terjejas ini. Kesempatan perlu direbut dan mereka seharusnya tidak hanya berserah diri dan bersandar kepada takdir. Dua bentuk pembugaran latihan ialah menerusi pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).
Pemahiran semula merupakan program latihan yang direka bentuk bagi membolehkan pekerja mendapat pengetahuan dan kemahiran mutakhir sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. Ini sesuai dilaksanakan bila mana pengetahuan dan kemahiran sedia ada pekerja telah jumud dan tidak lagi sesuai dalam konteks semasa. Pekerja perlu mengasah semula kemahiran agar ia kekal relevan dengan skop kerja yang
dilakukan. Sebagai contoh memberi kursus kepada pekerja industri yang mengendalikan peralatan pemesinan analog kepada perkakasan digital, seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

Manakala peningkatan kemahiran ialah bentuk latihan yang diberi kepada pekerja untuk meningkatkan, menambah, memperluas atau memperkasa pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Ia juga boleh dirujuk sebagai suatu bentuk intervensi yang membawa nilai tambah kepada kemahiran sedia ada. Sebagai contoh seorang kru kabin syarikat penerbangan ditawarkan skim pemberhentian secara suka rela (VSS), telah mengikuti kursus peningkatan kemahiran dan akhirnya dengan pengetahuan dan kemahiran baru ini beliau berjaya membuka sebuah syarikat mencuci kenderaan dan membersihkan premis kediaman.
Dalam erti kata lain, peningkatan kemahiran bukan sahaja dijadikan lesen untuk memburu pekerjaan baharu tetapi lebih daripada itu ia turut mendorong kepada penciptaan pekerjaan, khususnya bagi mereka yang terkesan dengan pandemik
Covid-19 ini.

Dalam hal berkaitan, turut menerima peruntukan sebanyak RM60 juta ialah program perantisan menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Sistem SLDN ini menawarkan peluang latihan kemahiran berorientasikan pekerjaan berasaskan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK, 2017) yang memenuhi kehendak industri semasa. Pendekatan latihan yang diguna pakai ialah dengan mengagihkan peruntukan masa 70 hingga 80% untuk tujuan praktikal yang dilaksanakan di industri atau syarikat SLDN dan 20 hingga 30% masa  endedahan teori pula dibuat di pusat-pusat latihan SLDN. Dalam laporan yang dikeluarkan oleh National Centre forVocational Education Research, Australia (Misko, 2006), program perantisan
merupakan kunci kepada pembangunan kemahiran pekerjaan di negara Jerman, Australia dan United Kingdom di mana dua daripada tiga orang pelajar yang menyambung pengajian peringkat tertiari di Jerman akan memasuki program sistem
dual.

Jadi langkah kerajaan dalam mengagihkan sejumlah peruntukan bagi memperkasa sistem perantisan ini adalah sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Para pelatih bakal menerima elaun bulanan sehingga RM1,000 yang boleh dimanfaatkan oleh 10,000 pelatih. Manakala menerusi penubuhan Perbadanan Tabung Pembangunan Khas dengan peruntukkan sejumlah RM300 juta pula boleh dimanfaatkan oleh kira-kira 24000 peserta program TVET. Ini
semua merupakan daya tarikan bagi mereka yang sedang menggilap potensi untuk memasuki pasaran kerja mahu pun mereka yang ingin memperkasa kemahiran demi kelangsungan pekerjaan.

Belanjawan 2021 juga sangat relevan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang menggariskan pelaksanaan dasar dan strategi berteraskan tiga dimensi utama iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial. Tonggak kepada pembangunan ke arah ekonomi hijau ini ialah sumber manusia yang kompetens dan berkemahiran generik hijau. Justeru program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula perlu mengambil kira akan objektif melestarikan alam sekitar di samping menstrukturkan semula sumber tenaga manusia dalam komuniti. Perkara ini turut mendapat perhatian dalam belanjawan 2021 di mana insentif dan galakan diberi kepada industri yang mengamalkan pengeluaran bersih menerusi teknologi hijau.

Rentetan daripada amalan teknologi hijau, tenaga pekerja industri wajar diberi latihan yang turut memfokuskan kepada  pembangunan kemahiran generik hijau. Ia merupakan wadah dalam menghasilkan reservoir tenaga pekerja mahir dan separa
mahir yang holistik, lengkap dengan kemahiran hijau dan ia selari dengan matlamat penubuhan Majlis Pekerjaan Negara.
Satu perkara lagi yang harus diberikan perhatian oleh kerajaan dan agensi penyedia latihan ialah menjenamakan semula (rebranding) bidang pekerjaan yang dilabel sebagai 3D iaitu ‘Dirty’, ‘Difficult’ dan ‘Dangerous’ agar ia dilihat sebagai suatu
lubuk pekerjaan yang mempunyai nilai dan potensi untuk diceburi dan bukan untuk dimonopoli oleh warga asing. Justeru belanjawan 2021 yang dibentangkan merupakan wadah terbaik dalam mengupayakan sumber tenaga manusia menerusi pemerkasaan TVET. Keteguhan dan iltizam untuk memartabatkan TVET mampu membawa kepada kemenangan ekonomi negara.
Misko, J. (2006).

Dr. Mohd Zolkifli Abd Hamid.
Pensyarah Kanan,
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
UTM, Skudai, Johor.