KUALA LUMPUR – Pelabur asing membeli sejumlah RM115.14 juta pada minggu lalu berbanding melupuskan RM190.04 juta minggu sebelumnya.
Ia merupakan aliran masuk bersih yang pertama selepas pelabur asing menjadi penjual selama tujuh minggu berturut-turut.
Perkembangan itu berpotensi menyaksikan perubahan sentimen dalam pasca Belanjawan 2021 dalam usaha untuk meremajakan semula ekonomi Malaysia.
MIDF Research dalam nota aliran dana mingguan berkata, ketika pasaran dibuka pada hari Isnin, pelabur asing menjual sebanyak RM104.42 juta ekuiti-ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan sebagai pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM1.39 juta dan RM103.03.
Bagaimanapun, MIDF mengatakan aliran keluar ini dibalikkan ketika minggu hampir berakhir, apabila momentum pembelian meningkat.
Keputusan pilihan raya presiden dan Senat Amerika Syarikat (AS) berperanan mempengaruhi keputusan pelabur.
MIDF Research berkata, aliran masuk terbesar berlaku pada Jumaat lalu dengan jumlah RM240.43 juta, menambah liran masuk bersih pada hari Khamis lalu sebanyak RM140.90 juta.
Setakat ini, penjualan bersih pelabur asing berjumlah RM22.88 bilion.
“Sebagai perbandingan dengan tiga pasar Asia Tenggara, Indonesia mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi, sementara Thailand mengalami aliran keluar terbesar.
Menurutnya, dari segi penyertaan runcit, minggu lalu menyaksikan pelabur runcit sebagai pembeli bersih dengan ekuiti bernilai RM26.7 juta, sementara institusi tempatan bersih menjual RM141.8 juta dalam tempoh yang sama.
Sehingga kini, MIDF berkata,, pembelian bersih berjumlah RM11.69 bilion daripada pelabur runcit, sementara institusi membeli sebanyak RM10.82 bilion.
Dari segi penyertaan, pelabur-pelabur runcit mingguan menurun 1.49% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV).
Manakala pelabur asing menyaksikan ADTV susut 11.25% manakala pelabur institsi jatuh 16.99%. – MalaysiaGazette