Home Ekonomi Jualan sektor pembuatan September berkembang 3.7%

Jualan sektor pembuatan September berkembang 3.7%

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor Pembuatan Malaysia pada bulan September 2020 berjumlah RM121.2 bilion, tumbuh sebanyak 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 2.3 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahun ke tahun bagi nilai jualan pada bulan September 2020 adalah dipacu oleh peningkatan dalam produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan Lain (14.3%), produk makanan, minuman & tembakau (14.2%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (7.2%).

Katanya, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan September 2020 adalah seramai 2,197,970 orang, berkurang 2.3 peratus berbanding 2,248,761 orang pada September 2019.

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji & upah yang dibayar berjumlah RM7.217 bilion, merosot 1.7 peratus atau RM124.3 juta pada September 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 6.1 peratus kepada RM55,151 berbanding bulan yang sama tahun 2019. Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,283 pada bulan September 2020.

Pada suku tahun ketiga 2020, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 2.4 peratus kepada RM358.8 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Menurut beliau, peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (14.1%), produk makanan, minuman & tembakau (13.8%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (7.2%).

Bilangan pekerja dan gaji & upah masing-masing pula menyusut 2.3 peratus dan 2.7 peratus pada suku tahun ketiga 2020. – MalaysiaGazette