Home Seni Hidup Siti Elizad keguguran selepas IVF berjaya

Siti Elizad keguguran selepas IVF berjaya

Fotografi bersama pelakon, Siti Elizad pada sidang media Program Bual Bicara Mingguan Wanita Tampil Serba Baharu di Ben's by Big, The Gardens, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad melahirkan rasa syukur kerana akhirnya berpeluang merasai detik menjadi ibu selepas sekian lama berusaha untuk mendapatkan zuriat.

Namun selepas seminggu disahkan hamil, dia terpaksa akur dengan ketentuan apabila mengalami keguguran.

“Allah bagi rasa nikmat jadi ibu tu minggu lepas. Tapi Dia ambil balik. Terjentik sungguh rasa itu.

“(Saya) dimaklumkan hamil minggu lepas. Masha-Allah, dia punya gembira tak tau nak kata apa sebab dah lama menanti.

Pemilik nama penuh Siti Elizad Mohamad Sharifuddin itu berkongsi proses pengambilan telur untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada 23 Oktober lalu berjalan lancar.

Siti Elizad mendirikan rumah tangga dengan Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.

Siti Elizad berkata pengalaman yang dilaluinya itu tidak menghilangkan semangatnya untuk terus mendapatkan zuriat, sebaliknya tetap positif dalam mendepani dugaan tersebut.

“Tak mengapa, insya-Allah, ada rezeki lain. Husnuzon, bersangka baik. Saya tak akan berputus asa. Saya akan sentiasa positif dan terus mencuba,” kata pelakon itu.

Melalui kiriman itu juga, Elizad berkata dia merancang untuk berjumpa doktor sekali lagi tahun depan bagi menjalani rawatan IFV.

“Jumpa kamu lagi doktor pada Januari 2021. Terima kasih untuk mereka yang menyokong dan mendoakan perjalanan IVF saya,” katanya. – MalaysiaGazette