MADRID – Juara bertahan La Liga Sepanyol Real Madrid tumbang di tangan Valencia dalam aksi semalam.
Hatrik penalti Carlos Soler dan gol sendiri pemain pertahanan skuad Zinedine Zidane iaitu Rafael Varane mengakibatkan the Galacticos tumbang dengan keputusan 4-1.
Karim Benzema meletakkan pasukan pelawat di hadapan menerusi gol pada minit ke-23.
Bagaimanapun skuad Zidane gagal mempertahankan kelebihan itu apabila tuan rumah bangkit mengejutkan pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-35 hasil sepakan penalti oleh Soler.
Sepakan pertama berjaya ditepis penjaga gol Real sebelum sistem Video penolong pengadil memutuskan sepakan semula yang kemudian berjaya memberi gol penyamaan oleh Soler.
Kesilapan bek pertahanan menghukum Real apabila Varane menjaringkan gol ke gawang pasukan sendiri sekaligus menyaksikan pasukan tuan rumah mendahuluinya dengan 2-1 sebelum separuh masa pertama tamat.
Pada separuh masa kedua, Soler sekali lagi memperoleh gol menerusi sepakan penalti kedua hasil terjahan pemain Real sekaligus menjadikan keputusan semasa 3-1 sebelum menggandakan gol keempat menerusi sepakan penalti ketiganya pada minit ke-63.
Hasrat Real untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga Real Sociedad yang memungut 20 mata bagaimanapun hancur dengan kekalahan besar itu dan terpaksa menduduki tangga keempat dengan 16 mata sahaja.-MalaysiaGazette