Home Dunia Kebakaran hutan di Portugal belum reda

Kebakaran hutan di Portugal belum reda

Kebakaran hutan di Pedrogao Grande kini merebak di kawasan Castelo Branco dan Coimbra. foto Agensi

LISBON – Lebih 1,000 anggota bomba bertarung untuk mengawal kebakaran hutan besar yang melanda Portugal tengah pada hujung minggu lalu.

Sejumlah 64 orang disahkan maut akibat kebakaran itu.

Ramai mangsa terbakar kerana mereka terperangkap di dalam kereta di sekitar jalan raya di Pedrogao Grande, dalam bencana yang paling dahsyat dalam sejarah Portugal.

“Portugal menangis untuk Pedrogao Grande,” kata tajuk utama akhbar.

Beberapa kenderaan yang terperangkap dalam kebakaran turut musnah. foto AgensiPerdana Menteri, Antonio Costa, yang mengumumkan tiga hari berkabung sejak Ahad berkata, api marak sehingga mencapai tahap tragedi yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Setakat hari Isnin, sebanyak 64 kematian disahkan. Jumlah kecederaan pula adalah 135 sehingga Sabtu lalu.

Laluan utama, Portugal 236 telah berubah menjadi “jalan neraka” yang mana 47 kematian dilaporkan ketika api mengganas membakar hutan.

Kebanyakan mangsa itu adalah dalam kalangan keluarga yang menghabiskan waktu petang di pantai di sungai berdekatan, kata pihak berkuasa tempatan.

Walaupun suhu sedikit menurun pada hari Isnin, kebakaran masih besar dan mula merebak ke kawasan Castelo Branco dan Coimbra. – MalaysiaGazette