Home Pendapat Kematian Kathir menyoroti penderitaan pekerja MNC

Kematian Kathir menyoroti penderitaan pekerja MNC

Pekerja yang aktif dalam NUBE menjadi sasaran dan dipinggirkan dalam latihan kenaikan pangkat atau diberhentikan sebagai amaran kepada pekerja lain untuk menjauhkan diri dari aktivisme kesatuan.- Gambar hiasan.

TINDAKAN pihak berkuasa dan syarikat multi-nasional (MNC) di Perak mendiamkan diri mengenai kematian seorang pegawai kanan syarikat itu setelah beliau merakam video, memperincikan trauma yang dialaminya di tempat kerja amat mendukacitakan.

Setelah merakam video yang menjadi viral, Kathir merempuh keretanya ke premis syarikat itu dan dilaporkan melemparkan koktel Molotov ke pejabat pengurusan minggu lalu.

Dalam kejadian minggu lalu itu, beliau kemudian meninggalkan bangunan syarikat berkenaan dengan berjalan kaki dan terbunuh ketika dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan.

Keperitan dan trauma yang dihadapi oleh Kathir mempunyai banyak persamaan dengan penderitaan ramai pekerja Malaysia dengan syarikat-syarikat MNC di negara ini.

Penderitaan mereka menuntut pihak berkenaan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus. Jika tidak, akan ada banyak kisah meyayatkan seperti Kathir, lebih-lebih lagi ketika penularan Covid-19 yang digunakan oleh sesetengah MNC sebagai alasan untuk memberhentikan pekerja dengan sewenang-wenangnya kerana mementingkan untung syarikat semata-mata.

Kematian tragis Kathir tidak boleh sia-sia atau diketepikan. Ia harus menjadi pemangkin untuk kerajaan dan pihak berkuasa melancarkan siasatan menyeluruh mengenai nasib pekerja Malaysia di MNC meliputi semua sektor, termasuk perbankan.

Dalam sektor perbankan, NUBE khuatir kerana bank MNC tertentu melaksanakan dasar tidak adil dan diskriminasi yang mengakibatkan pekerja Malaysia dari kategori B40 dan M40
kehilangan mata pencarian dan kehilangan pekerjaan.

Dasar-dasar tersebut juga dirancang sebagai taktik union busting iaitu memecahbelahkan kesatuan sekerja. Dasar-dasar ini bertujuan memastikan pekerja tidak digalakkan atau dihalang sama sekali untuk bergabung dengan kesatuan pekerja.

Terdapat banyak bukti mengenai amalan tidak beretika yang digunakan terhadap anggota dan pegawai NUBE oleh bank milik asing tertentu di Malaysia.

Pada ketika ini, sememangnya maklumat di sebalik kematian Kathir amat terhad tetapi keadaan ini adalah kerana majikan MNC beliau enggan memberi penerangan mengenai peristiwa yang menyebabkan kematian tragis mendiang.

Yang lebih mengecewakan adalah ketidakpedulian Kementerian Sumber Manusia. Belum ada pengumuman oleh jabatan buruh negeri atau Putrajaya bahawa siasatan yang telus akan dilakukan untuk memastikan faktor-faktor yang menyumbang kepada kematian Kathir.

NUBE mempunyai kepentingan langsung dalam kes ini kerana sebilangan besar ahli kami berasal dari bank milik MNC. Selama bertahun-tahun, kami telah menyaksikan sejumlah ahli-ahli NUBE menderita akibat tekanan mental dan gangguan emosi kerana pelbagai bentuk penganiayaan oleh pihak pengurusan bank MNC tertentu.

Tidak dinafikan ada bank-bank MNC dan bank milik tempatan yang menjadi teladan dalam membela kebajikan pekerja kader rendah dan pegawai peringkat pertengahan mereka. Tetapi bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu, perbuatan bank tertentu menganiayai pekerja merosakkan nama baik industri berkenaan.

Beberapa bank MNC telah lama mengamalkan dasar yang bertujuan untuk menolak atau melengahkan sebarang rundingan bersama (Collective Agreement) apabila diminta menambahbaik ganjaran dan kemudahan untuk pekerja.

Pekerja yang aktif dalam NUBE menjadi sasaran dan dipinggirkan dalam latihan kenaikan pangkat atau diberhentikan sebagai amaran kepada pekerja lain untuk menjauhkan diri dari aktivisme kesatuan.

Tindakan sedemikian oleh bank-bank MNC telah berleluasa sejak pertengahan 2018 tanpa Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia mengambil sebarang tindakan. NUBE memiliki pengalaman langsung mengenai sikap tidak peduli
mantan Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia.

Mereka sengaja enggan menangani isu eksploitasi pekerja di sebuah bank multinasional yang terkenal. Rayuan kami kepada kedua-dua mantan Menteri dan BNM itu tidak didengar.

Pasukan penyiasat Jabatan Tenaga Kerja bahkan tidak melakukan siasatan terhadap bank ini walaupun terdapat banyak aduan rasmi.

Sebaliknya BNM memperkenalkan dasar-dasar untuk menghalalkan tindakan bank MNC melakukan outsourcing pekerjaan rakyat Malaysia.

Tindakan bank pusat itu bukan sahaja tidak menghormati kepentingan pekerja tetapi juga mengabaikan Perjanjian Kolektif dan mencetuskan pengangguran di kalangan pekerja B40 dan M40.

Ketidakpedulian kerajaan dan BNM amat dikesali, terutama memandangkan mangsa bank MNC ini kebanyakannya adalah pekerja B40 dan M40 yang sering dijadikan bahan kempen oleh ahli politik mendakwa diri sebagai pejuang rakyat.

Amat mengecewakan penganiayaan terhadap pekerja tempatan oleh beberapa MNC, termasuk bank MNC tertentu, dilakukan oleh rakyat Malaysia yang bersemangat yang diberi jawatan kanan di jabatan sumber manusia syarikat. Ini hanya untuk melindungi MNC daripada dituduh bertindak berat sebelah terhadap tenaga kerja tempatan.

Hakikatnya adalah pengurusan MNC tidak memiliki belas kasihan, tidak bertolak ansur dengan perbezaan pendapat dari kalangan pekerja dan kesatuan mereka, walaupun aduan itu berasas.

Akibatnya, tanpa adanya campur tangan pihak berkuasa, syarikat-syarikat MNC, termasuk bank tertentu bebas bertindak sesuka hati terhadap pekerja.

Kathir kemudian, dalam video yang dirakamnya sebelum meninggal, menceritakan kekecewaannya kerana gagal mendapatkan majikan beliau untuk menunjukkan bukti terhadap tuduhan bahawa prestasi kerjanya tidak sesuai.

Kami di NUBE turut mengalamiĀ nasib sama apabila sesetengah bank MNC enggan memberikan kerjasalam kepada usaha kesatuan menegakkan keadilan untuk ahlinya.

MNC yang datang ke Malaysia untuk melabur mesti memastikan mereka mematuhi undang-undang negara dan memastikan kepentingan pekerja di Malaysia tidak diabaikan dari segi hak asasi manusia, keadilan dan martabat mereka.

Ketua-ketua Sumber Manusia yang dipekerjakan oleh MNC harusĀ  berpengalaman dengan undang-undang, garis panduan, Kod Tingkah Laku untuk Harmoni Industri, Piawaian Buruh
Antarabangsa dan pelbagai budaya Malaysia.

Adalah mustahak mereka mempunyai pengetahuan yang komprehensif mengenai dasar dan amalan ini untuk menjalankan fungsinya dengan berkesan. MNC mesti memastikan bahawa mereka tidak mengeksploitasi atau menganiaya pekerja mereka.

Kerajaan Malaysia, harus memperolehi komitmen pelabur asing untuk melindungi penduduk Malaysia daripada eksploitasi dan penyalahgunaan. Ketetapan ini mesti dijadikan prasyarat sebelum MNC mesti diberikan untuk insentif pelaburan seperti potongan cukai dan imbuhan lain.

Kerajaan tidak boleh membiarkan MNC mengeksploitasi pekerja Malaysia dan menyedut kekayaan negara. Agensi kerajaan yang seharusnya mencegah eksploitasi pekerja Malaysia dan memastikan undang-undang, dasar dan garis panduan perlindungan dipatuhi telah gagal.

NUBE dan banyak kesatuan lain di seluruh negara mendesak Kementerian Sumber Manusia untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia dan pekerja bahawa mendiang Kathir tidak mati sia-sia.

Kerajaan mesti menunjukkan iltizam politiknya untuk memastikan segala yang dirungkai oleh oleh mendiang di dalam videonya, akan disiasat, kerana ia turut mencerminkan
ketidakadilan dan penganiayaan yang sama dihadapi oleh ribuan pekerja MNC yang lain.

Sekiranya Kathir mangsa eksploitasi oleh majikan tempat, maka kematian Kathir bukan kemalangan tetapi satu bentuk pembunuhan! Oleh itu, agensi kerajaan harus menghantar pemeriksa buruh dengan kesatuan pekerja untuk melakukan pemeriksaan segera di tempat kerja beliau.

NUBE bersimpati dengan keluarga mendiang Kathir dan mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab atas trauma
emosi di tempat kerja yang menyebabkan kematian beliau.

Berasaskan pengalaman NUBE dengan bank MNC tertentu, pekerja negara ini bukan sahaja perlu takut jangkitan virus Covid-19 tetapi harus juga waspada terhadap majikan dan agensi
kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak peduli, yang akhirnya membawa masalah lebih teruk berbanding pendemik virus pembunuh itu.

J. Solomon, Setiausaha Agung NUBE