KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan diminta membatalkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta yang diberikan kepada Penggerak Komuniti Tempatan atau PeKT.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kewujudan PeKT itu walaupun didakwa bukan politik dan tidak dianggotai ahli politik namun ia masih diragui.
Ini kerana, PeKT ini ditubuhkan untuk menjadi “mata dan telinga buat kerajaan” dan “pegawai PeKT akan bertindak seperti ahli majlis dalam setiap PBT” dan 288 pegawai PEKT yang dilantik adalah ahli parti politik dalam komponen Perikatan Nasional (PN).
PeKT ini diwujudkan hanya di negeri-negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Isunya, kerajaan nak peruntukkan RM8.6 juta untuk PeKT dalam Belanjawan 2021, apa gunanya PeKT ini kalau setiap PBT sudah ada Ahli Majlis yang dilantik dengan punca kuasa yang sah?
“Jika masalahnya mutu perkhidmatan Ahli Majlis, mengapa tidak diberi RM8.6 juta ini kepada semua PBT itu untuk perkukuh aktiviti dan perkhidmatan?” soalnya.
Tambahnya; “Atau adakah PeKT ini sememangnya bermotif politik seperti yang boleh kita faham dari Pengerusi Bersatu Selangor ini? Jika ya, apakah patut diberi dana wang rakyat untuk berpolitik pada ketika Covid-19 melanda termasuk di tiga negeri yang dituju PeKT ini?”.
Oleh itu, kata Fahmi, daripada RM8.6 juta diberi kepada PeKT, lebih baik berikan kepada pihak-pihak yang lebih memerlukan.
Contohnya pengusaha kantin sekolah-sekolah yang amat terkesan dengan penutupan sepanjang PKP & PKPB.
“Saya cadang Menteri Kewangan batalkan!,” ujarnya. – MalaysiaGazette