KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyambut baik keputusan untuk meneruskan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.
Meskipun bakal menelan perbelanjaan besar namun menurut pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ia merupakan salah satu bukti kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat dari aspek pengangkutan awam.
“Dengan jajaran Lembah Klang, ia akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan komersial kawasan berkenaan. Kos besar tapi demi kepentingan keperluan pengangkutan awam yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan penduduk dan perubahan sosio budaya serta landskap maka keperluan jenis perkhidmatan awam ini ada untuk rakyat dapat kemudahan nikmati pengangkutan awam yang murah,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Prasarana kata Tajuddin sebagai operator MRT melihat keputusan ini sebagai langkah yang tepat.
Selain itu beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk meluaskan rangkaian pas perjalanan tanpa had My30 kepada bas Rapid di dua lagi negeri, Pulau Pinang dan Kuantan di Pahang.
Prasarana tambahnya bersedia melaksanakannya dengan segera berdasarkan ‘lampu hijau’ dari kerajaan.
Tajuddin juga gembira apabila kerajaan menerusi Belanjawan 2021 baru-baru ini mahu melanjutkan inisiatif My30 untuk perkhidmatan-perkhidmatan Rapid KL yang lain.
“Pemanjangan pas pejalanan My30 dan membawa ke Rapid Penang dan Rapid Kuantan menyerlahkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.
“Prasarana sememangnya berpendirian bahawa menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah langkah yang paling berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta aktivit-aktiviti komersial yang amat kritikal waktu ini,” katanya.
Untuk rekod My30 diperkenalkan untuk penggunaan tanpa had tangkaian pengangkutan rel urban dan bas Rapid KL pada 15 Jun 2020 dan dibuka eksklusif untuk warganegara Malaysia.
Pas perjalanan tanpa had kini mempunyai secara purata 120,000 pengguna sebulan.
Pulau Pinang sekarang penumpang menggunakan Pas Mutiara yang membenarkan mereka mengginakan perkhidmatan bas henti-henti tanpa had dengan pakej RM50 sebulan.
Manakala Rapid Kuantan pula menggunakan sistem Touch ‘n Go serta kad MyRapid selain urusan bukan tunai.
Justeru Tajuddin percaya dengan pengenalan My30 akan membantu meringankan perbelanjaan pengangkutan awam untuk penduduk di kedua-dua negeri tersebut.
“Inisiatif ini juga dijangka akan memberi peningkatan signifikan dalam jumlah penumpanh yang mrnggunakan perkhidmatan kendalian kumpulan Prasarana,” tambahnya. – MalaysiaGazette