KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengaplikasikan struktur latihan secara digital khususnya ke atas atlet yang terbabit dengan Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Johor yang dibatalkan untuk dibawa ke tahun 2022.
Struktur latihan digital yang dimaksudkan itu dilihat lebih efektif ketika negara dan seluruh dunia ketika ini menghadapi krisis pandemik Covid-19.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, langkah itu adalah lebih berkonsepkan latihan yang menggunakan teknologi terkini bagi membolehkan seseorang atlet itu mencapai prestasi terbaik sama seperti apabila mereka bersaing dalam kejohanan sebenar.
“Bagi pihak MPM kami ingin menyarankan untuk latihan diteruskan walaupun tiada kejohanan utama pada tahun depan bagi atlet pelapis negara. Cuma diharapkan MSN dapat memberi lebih penekanan kepada latihan mental, emotional intelligence (kecerdasan emosi) dan psikologi atlet.
“KBS dan MSN juga perlu melihat untuk menerapkan latihan atlet secara digital dalam memodenkan konsep latihan supaya atlet para khususnya lebih arif kepada latihan berteknologi dan Artificial Intelligence.
“Kita tidak boleh membiarkan tempoh setahun ini disia-siakan. Lebih baik kita mencari jalan untuk membangunkan konsep latihan yang lebih mesra dengan situasi masa kini. Mungkin KBS perlu membuat pelaburan dan bekerjasama dengan syarikat teknologi di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai pembatalan dan penangguhan Sukma Johor, Megat mengakui MPM menyahut baik dan memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil kerajaan negeri Johor dan KBS untuk tidak meneruskannya.
“Langkah ini adalah yang terbaik demi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet serta pegawai yang bertanding. Kita tidak tahu bila kesudahan pandemik Covid-19
“Hampir 30,000 orang dijangka akan terlibat termasuk sukarelawan, pengurusan dan sebagainya dan kita tidak merisikokan nyawa lebih ramai orang di luar sana. Saya
menganggap ini adalah langkah berani daripada kerajaan negeri Johor dan saya menghormatinya
Sementara itu, Megat turut ingin berterima kasih kepada pihak KBS terutamanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana telah melantik beliau selaku wakil MPM dalam Ahli Majlis Sukan Negara.
Pelantikan itu berkuat kuasa mulai tarikh surat pelantikan dikeluarkan semalam sehingga 30 April 2022. – MalaysiaGazette