Home Nasional Pencemaran LRA Rantau Panjang: Polis mula siasatan

Pencemaran LRA Rantau Panjang: Polis mula siasatan

Pencemaran bau di Sungai Selangor dikesan di LRA Rantau Panjang menyebabkan henti tugas.

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap insiden terbaharu pencemaran air di Loji Rawatan Air Rantau Panjang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, siasatan dimulakan setelah kertas siasatan dibuka rentetan laporan polis yang diterima pada jam 3 petang ini.

“Polis hari ini menerima satu laporan polis daripada seorang pegawai penguatkuasa Lembaga Urusan Air Selangor (LUAS) mengenai pencemaran yang dikesan di LRA Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan akan menutup empat loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran air.

Penutupan LRA Sungai Selangor dan Rantau Panjang, menyebabkan 1,279 kawasan terjejas di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Dengan penutupan itu, sejumlah 1,139,008 isi rumah di Lembah Klang akan terputus bekalan air mulai 6 petang ini.

Menurut Fadzil, siasatan awal pihak LUAS mendapati air di loji disyaki mengandungi bahan solvent hingga ke tahap 8 ton memaksa bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai.

Katanya, kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan membabitkan insiden itu dan polis sedang meneruskan siasatan mencari kemungkinan terdapat unsur jenayah. – MalaysiaGazette

 

LRA Sungai Selangor dihenti tugas, LUAS kesan pencemaran bau