Home Politik PSB tidak tolak kemungkinan jalin kerjasama dengan DAP pada PRN Sarawak

PSB tidak tolak kemungkinan jalin kerjasama dengan DAP pada PRN Sarawak

Wong Soon Koh

KUCHING – Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada pilihan raya negeri ke-12, yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan parti lain yang berkongsi matlamat dalam perjuangan politik mereka bagi membantu rakyat di negeri tersebut.

“Bagi kami, kami akan bekerjasama dengan orang yang berfikiran sama, berkongsi wawasan dan misi serupa, jika ia baik untuk rakyat di Sarawak, mengapa tidak?” katanya pada sidang media semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini berhenti rehat.

Wong, yang juga Ahli DUN Bawang Assan, adalah Menteri Kewangan Kedua Negeri Sarawak sebelum beliau melepaskan jawatan itu setelah membuat keputusan untuk menamatkan hubungannya dengan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tahun lepas.

Tiga lagi wakil rakyat yang bersama-sama beliau menyertai PSB ialah Datuk Ranum Mina (Opar), Johnical Rayong (Engkelili) dan Baru Bian (Ba’ Kelalan) yang juga Ahli Parlimen Selangau. Ahli Parimen Sri Aman Masir Kujat turut menyertai parti itu.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mengiringi Wong pada sidang media itu berkata, mereka boleh bekerjasama dengan PSB seperti yang dibuktikan hari ini apabila mereka bersama-sama membantah pindaan terhadap Perkara 16 Perlembagaan Negeri Sarawak semasa sidang DUN.

Rang undang-undang bagi pindaan itu bagaimanapaun telah ditangguhkan oleh Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada akhir perbahasan atas alasan anomali dan penjelasan bagi tafsiran dalam rang undang-undang tersebut perlu ditangani terlebih dahulu.

“Kami daripada DAP dan PSB, kami telah menyatakan bantahan keras kami terhadap pembentangan rang undang-undang ini pagi tadi atas dasar bahawa DUN adalah benteng terakhir bagi mempertahankan hak-hak serta keistimewaan Sarawak,” kata Chong. – Bernama