KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk ‘Kembar Mencabar Deepavali’ bersempena sambutan perayaan itu Sabtu ini.
Filem tersebut mengisahkan kehidupan sepasang kembar yang memiliki wajah seiras namun memiliki perwatakan yang berbeza.
Kembar tersebut yang dinamakan sebagai Deepalakshmi dan adiknya, Poojalakshmi dan masing-masing mempunyai keperibadian tersendiri bagai mewakili dua zaman, tradisi dan moden.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Datuk Baderul Sham Saad berkata, pertembungan perbezaan itu memuncak ketika kedua-duanya sibuk menghias rumah sempena Deepavali.
Bagaimanapun akhirnya, kembar itu masing-masing sedar bahawa mereka bersama boleh membawa keceriaan Deepavali dengan mengenepikan perbezaan untuk saling membantu
dan bekerjasama.
“Dalam suasana sekarang yang tidak pasti dan mencabar ini, penting bagi kita semua untuk kembali menghayati erti perayaan, iaitu mengukuhkan ikatan kekeluargaan antaranya menerusi persefahaman dan toleransi,” katanya menceritakan lanjut mengenai filem berkenaan menerusi satu kenyataan.
Umpama air dicincang tidak akan putus, Baderul Sham menjelaskan, keperibadian berbeza tidak sepatutnya memisahkan ahli keluarga kerana ikatan kekeluargaan cukup teguh untuk mencetuskan sinar kebaikan antara satu sama lain.
Ujarnya, kasih sayang walau sepesat manapun zaman tidak akan hilang dan begitu jugalah peranan TNB menerangi Malaysia sebagai penggerak kemajuan negara yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat sejak 71 tahun yang lalu.
Katanya, filem pendek berkenaan akan bersiaran hari ini secara dalam talian di saluran YouTube TNB (youtube.com/TENAGAofficial #KembarMencabarDeepavali
#DoubleTroubleDeepavali).
Tambahnya, filem berdurasi 60 saat itu juga turut akan disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan pada 13 November ini.
Di akhbar dan media sosial pula jelas beliau, iklan itu menawarkan pengalaman realiti terimbuh atau augmented reality yang membolehkan pembaca dan penonton menjelajah rumah pasangan kembar berkenaan menerusi pengimejan maya 360 darjah bagi merasai kemeriahan Deepavali dengan lebih mendalam.
Filem berkenaan turut memaparkan mesej keutuhan kasih sayang mengatasi apa jua perbezaan dan perubahan zaman. – MalaysiaGazette