Home Seni Hidup Vimala terpilih jadi juri Anugerah Filem Pendek Tamil Zee

Vimala terpilih jadi juri Anugerah Filem Pendek Tamil Zee

Dr. TS Vimala Perumal (kanan).

KUALA LUMPUR – Buah hati industri perfileman Tamil tempatan, Dr. TS Vimala Perumal sekali lagi melakar kejutan bersejarah sekali gus meletakkan beliau dalam kelas tersendiri yang sukar ditandingi.

Terbaharu, isteri kesayangan aktor handalan Denes Kumar dan ibu kepada sepasang cahaya mata comel itu dipilih sebagai juri antarabangsa bagi Anugerah Filem Pendek Tamil Zee.

Pelantikan itu yang dikongsi pasangan berkenaan di akaun media sosial mereka adalah satu bukti bahawa Vimala bukan calang-calang orang.

Bakat dan pencapaiannya dikagumi ramai sehingga menerima pengiktirafan antarabangsa.

Pengarah trilogi filem Pasange itu yang kesemuanya mencatatkan kutipan pecah panggung ternyata membanggakan negara kerana Zee bukan satu saluran picisan.

Saluran hiburan Tamil utama dunia dalam kalangan peminat itu diikuti jutaan penonton, justeru pelantikan Vimala berkenaan jelas adalah satu penghormatan.

Sebagai juri pada pertandingan berprestij itu, Vimala mempelawa mana-mana individu yang berhasrat menghasilkan karya sulung agar menyertai bengkel filem pendek itu.

Menurut beliau, peserta berpeluang mengikuti sesi interaktif yang amat bermanfaat secara atas talian, bersama juri handalan lain.

Peluang keemasan itu jelasnya, adalah platform terbaik untuk semua peserta melahirkan kreativiti masing-masing, selain mengasah bakat pada laluan yang tepat.

Selain Vimala, barisan panel hakim lain termasuk beberapa nama besar seperti pengarah A.L Vijay, Tamil Dassan, Rajagopal K dan Yahssir M yang sememangnya mempunyai pengaruh besar dalam dunia perfileman.

Pertandingan julung kali diadakan oleh Zee Tamil itu membuka ruang untuk semua individu berbakat dari Malaysia dan Singapura mengenengahkan karya kreatif, serta kemahiran mengarah masing-masing untuk dipertontonkan di platform televisyen global.

Berbekalkan objektif utama menyediakan forum antarabangsa buat semua pembikin filem, ia adalah saluran paling tepat untuk mereka menghasilkan karya bagi meraih pengiktirafan daripada yang selayaknya.

Menerusi pertandingan ini, lapan penyertaan terbaik berpeluang memenangi tayangan eksklusif di saluran Zee Tamil. -MalaysiaGazette