Home Nasional Sanggup lawan arus di lebuhraya PLUS untuk balik kampung sambut Deepavali

Sanggup lawan arus di lebuhraya PLUS untuk balik kampung sambut Deepavali

Keadaan kereta Axia yang dipandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan.

IPOH – Gara-gara ingin mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai, seorang lelaki nekad memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan di KM355.4 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Bidor, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu pada pukul 6.08 petang semalam.

Katanya kemalangan dipercayai berlaku apabila T. Yugeswaran, 34, yang memandu Perodua Axia dari Klang, Selangor ke Bidor, Tapah untuk menyambut Deepavali nekad melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari KM354 di susur keluar Sungkai arah utara selepas melihat SJR polis.

Rentetan itu, sebuah Toyota Rush yang dipandu seorang lelaki di lorong kanan arah utara tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Perodua Axia tersebut dan berpusing beberapa kali.

“Kebetulan sebuah lori treler yang membawa muatan sarung tangan juga tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Axia itu. Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata pemandu Perodua Axia itu telah ditahan di rumahnya di Bidor kira-kira pukul 11 pagi ini bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Hangpa jangan marah polis, kerajaan kalau tak dapat balik kampung!

    Pi la marah Pakatan Hancing/DAP Sabah yang dilihat telah menyebabkan penyibaran virus ini semakin sukar untuk dikawal? Mereka kuat main politik sehingga mereka bubarkan DUN!

Comments are closed.