Home Utama Dua lelaki Rohingya didakwa rogol remaja tempatan bawah umur

Dua lelaki Rohingya didakwa rogol remaja tempatan bawah umur

Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki Rohingya termasuk remaja berusia 17 tahun didakwa secara berasingan di mahkamah Ampang di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan tempatan berumur 15 tahun.

Di Mahkamah Sesyen Ampang, operator kilang, Mohammed Karim Mohammad, 20, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol remaja itu di sebuah rumah tidak bernombor di Pandan Indah, di sini antara Sept dan Okt 2019.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa tidak menawarkan sebarang jaminan atas  alasan tertuduh bukan warganegara Malaysia dan khuatir jika jaminan diberikan tertuduh akan melarikan diri.

“Mohon mahkamah melihat tahap keseriusan kes ini kerana mangsa berusia 15 tahun serta hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh penanggung utama keluarga dan isterinya sedang sarat mengandung anak ketiga.

“Tertuduh adalah pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) dan mempunyai dua anak berusia empat dan satu tahun. Pihak kami tiada bantahan jika mahkamah mahu mengenakan beberapa syarat tambahan ke atas tertuduh,” katanya.

Hakim Norhazani Hamzah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, remaja Rohingya berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Juvana atas pertuduhan merogol mangsa sama di tangga sebuah perumahan di tempat serupa pada 2 pagi, Ogos lepas mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan kerana tiada penjamin.

Majistret Normaizan Rahim tidak menetapkan jaminan dan 6 Jan depan adalah untuk sebutan semula kes.

Esok, dua lagi rakan mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan merogol remaja itu.

— BERNAMA

 

2 Komen

Comments are closed.