Home Nasional Imbas MySejahtera di stesen minyak: Masih ada yang keliru, rasa leceh

Imbas MySejahtera di stesen minyak: Masih ada yang keliru, rasa leceh

Aplikasi MySejahtera

KUALA LUMPUR – Sebilangan pengguna berpendapat prosedur operasi standard (SOP) di stesen minyak yang diperincikan kelmarin masih lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa stesen minyak di ibu negara mendapati ada pengguna yang merungut mengenai SOP yang diumumkan dan menyifatkan keperluan itu sebagai ‘leceh’.

Namun ada juga yang merasakan langkah yang diambil Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu sebagai satu keperluan ketika negara sedang berhadapan dengan gelombang ketiga wabak Covid-19.

Penghantar makanan, Faizal Nordin, 40, berkata, apa sahaja SOP yang dikeluarkan seharusnya memudahkan kedua-dua pihak sama ada pengguna mahu pun pekerja di stesen minyak supaya tidak timbul isu arahan berlainan.

“Kenapa ada yang perlu dan tidak perlu imbas kod MySejahtera? Jika benar mahu pengguna ikut SOP, mintalah pengusaha stesen minyak sediakan satu meja khas di luar supaya semua orang yang datang boleh imbas kod tersebut.

“SOP biarlah selaras dan tidak memeningkan. Saya hantar makanan di merata-rata tempat dan isi minyak di stesen berlainan jadi kalau boleh biar semua sama, pengguna pun tak pening kepala,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Faizal Nordin

Mengulas lanjut, Faizal berkata, stesen minyak dikunjungi oleh semua golongan tidak kira tua atau muda dan tidak mustahil ada dalam kalangan mereka yang terlepas pandang untuk mengimbas kod MySejahtera atau daftar secara manual terutamanya warga emas.

Justeru, dia berharap segala SOP dikeluarkan MKN tidak lagi bertukar-tukar arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya dapat mengelak sebarang salah faham selepas ini.

Sementara itu, seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi menyifatkan SOP terbaharu di stesen minyak itu ‘leceh’ dan tidak mustahil mendedahkan pengguna kepada jangkitan jika perlu beratur panjang semasa membuat pembayaran di dalam premis.

“Menyusahkan pengguna hendak beratur panjang untuk imbas kod sebelum dapat buat pembayaran lebih-lebih lagi ketika ramai pelanggan kerana tak semua orang ada kad debit atau kredit,” ujarnya.

Manakala menurut seorang pekerja swasta, Nor Azhar Abd. Karim, 56, kekeliruan tentang SOP di stesen minyak mungkin timbul di kawasan kampung atau pedalaman kerana kekangan capaian maklumat.

Nur Azhar Ab Karim

“Mungkin ada yang tidak tonton berita atau tidak punyai telefon untuk terima mesej pesanan ringkas (SMS) dikeluarkan MKN jadi mereka tidak maklum tentang segala SOP ini.

“Sekiranya ada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan mungkin akan ada segelintir dikenakan tindakan langgar SOP walhal mereka sendiri pun tidak tahu kena daftar maklumat diri terlebih dahulu sebelum buat pembayaran di kaunter,” katanya.

Namun bagi penjawat awam, M.Priya, 28, SOP yang dikeluarkan oleh MKN itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ketika negara sedang bergelut dengan gelombang ketiga.

Katanya, SOP tersebut juga jelas dan mudah difahami selain membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kontak rapat.

“Bila ke stesen minyak memang saya guna kad debit dan lebih bagus begitu kerana kita dapat mengurangkan risiko.

“Bagi saya imbas kod MySejahtera adalah kemestian kerana kita sendiri tidak tahu siapakah pembawa wabak dan SOP ini lebih kepada langkah berjaga-jaga,” katanya. – MalaysiaGazette