KUALA LUMPUR – Polis telah diarahkan untuk mengesan dan menangkap kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang lari daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti pengesanan dan tangkapan sedemikian pernah dilakukan sebelum ini ketika kawasan Selangor Mansion dekat Kuala Lumpur dikenakan PKPD.
“Malah, di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, kami difahamkan aktiviti pengesanan dan penangkapan adalah lebih mudah berbanding di Selangor Mansion kerana terdapat majikan yang sanggup menyediakan bas untuk membawa keluar pekerja-pekerja mereka dari kawasan PKPD.
“Pihak polis boleh melakukan pengesanan melalui majikan-majikan yang bersubahat ini,” katanya semasa sidang media hari ini.
Menurut Ismail Sabri, sekiranya didapati bersalah, hukuman bukan sahaja dikenakan kepada penghuni yang lari malah kepada majikan yang bersubahat.
Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang gagal dikesan untuk membuat saringan Covid-19.
Jelasnya, bilangan individu yang tidak pulang ke kediaman mereka itu diperolehi melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu bermula 6 petang, Selasa lalu.- MalaysiaGazette