KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelonggaran terhadap beberapa sekatan pada minggu ketiga dan keempat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Antara kelonggaran yang mungkin boleh diberi adalah membenarkan semula perjalanan antara negeri dan daerah bagi negeri yang tidak mempunyai bilangan kes yang tinggi.
“Dengan membenarkan pergerakan berkenaan, impak negatif ekonomi dapat diminimakan sekaligus dapat merancakan semula aktiviti perniagaan dan perkhidmatan,” kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Uan Mashri.
Menurut beliau, pihaknya juga membawa suara orang ramai supaya kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang dari akaun 1 secara one-off sebanyak RM10,000 serta melaksanakan moratorium pinjaman institusi kewangan secara automatik.
“Atas prinsip membawa suara rakyat, Pemuda UMNO Kedah mendesak kerajaan mengubah keputusan awal yang hanya membenarkan pengeluaran KWSP dan moratorium secara bersasar.
“Berjiwa besar mengubah keputusan yang tidak disukai rakyat bukanlah tanda kelemahan kerajaan, sebaliknya ia adalah lambang kepimpinan yang cakna dengan keperluan rakyat serta amat peduli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Syed Mohd Johan Rizal, kerajaan harus mengubah keputusan itu dengan segera.
“Lagi lama keputusan awal itu dibiarkan berlarutan tanpa membuat keputusan segera mengubahnya dan membiarkan isu itu menjadi perbahasan di parlimen, media sosial dan pelbagai platform lain, ia tidak baik untuk imej kerajaan Perikatan Nasional.
“Kesusahan orang ramai yang tidak mempunyai tunai ditangan adalah realiti dan keperluan mengeluarkan wang KWSP dan moratorium adalah keterdesakan yang terlalu nyata.
“Harapan mereka agar kedua perkara itu menjadi keputusan segera kerajaan supaya mereka mempunyai sedikit keupayaan kewangan bagi menempuhi beberapa bulan akan datang,” ujarnya.- MalaysiaGazette