Home Utama Akaun syarikat pelaburan MBI Group berjumlah RM209 juta dibeku

Akaun syarikat pelaburan MBI Group berjumlah RM209 juta dibeku

Tiga buah kenderaan mewah jenis Jaguar, Range Rover dan Vellfire bernilai RM1.5 juta turut disita.

PULAU PINANG – Pihak berkuasa membekukan sebanyak 98 akaun bank berjumlah RM209 juta yang dipercayai digunakan pengasas MBI Group bagi menjalankan perniagaan skim piramid Mfc @ Mface Club.

Turut ditahan dalam Ops Token 2 yang dilancarkan di negeri ini dan Kulim, Kedah semalam ialah seorang lelaki berusia 50-an yang dipercayai pengasas kepada syarikat pelaburan tersebut.

Operasi bermula pukul 6.30 pagi itu turut menyita tiga buah kenderaan mewah jenis Jaguar, Range Rover dan Vellfire bernilai RM1.5 juta dan membekukan empat akaun milik suspek bernilai RM30 juta.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, operasi bersepadu itu turut menyerbu sebuah premis di Sungai Dua, Butterworth dan di Taman MBI Desaku, Kulim, Kedah.

Menurut beliau, pihaknya percaya syarikat itu mempunyai rangkaian di luar negara sekali gus akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa negara-negara terlibat bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Ini berikutan kita turut menyita wang tunai keseluruhan berjumlah RM685,612 termasuk mata wang pelbagai negara seperti Singapura, Thailand, Australia, Indonesia, New Zealand, Korea, China, Hong Kong, Kemboja, Jepun dan Laos,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Selain Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK dan BNM, operasi itu turut melibatkan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (NRRET) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Operasi itu dijalankan susulan daripada operasi pertama ke atas skim pelaburan Mfc Club @ Mface Club di sekitar ibu negara serta serbuan di sebuah pusat beli-belah syarikat itu di negeri ini bulan lalu selepas disenaraikan dalam Amaran Pengguna Kewangan BNM kerana menjalankan aktiviti kewangan tidak berlesen.

Dalam pada itu, Roslan berkata, lelaki yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – MalaysiaGazette