KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi kelonggaran bagi prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan tiga individu dalam satu kenderaan, berbanding dua orang sebelum ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu mestilah dengan syarat penumpang dan pemandu itu dari rumah yang sama.
“Keputusan ini dibuat selepas kita mendengar pandangan dan permohonan orang ramai untuk menambah jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian daripada rumah yang sama walaupun pihak polis sebelum ini telah memberi kelonggaran atas budi bicara mereka.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kuasa budi bicara polis masih terpakai jika terdapat lebih tiga individu dalam sebuah kenderaan bagi keadaan tertentu misalnya membawa kanak-kanak atau warga emas.
Mengenai perayaan Hari Deepavali yang akan disambut esok, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bagi upacara sembahyang di kuil, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu-satu masa mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal serta upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi dan bermula dari 7 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Saya ingatkan SOP sempena perayaan adalah sama seperti Hari Raya Aidilfitri, jadi saya tak mahu ada pihak tertentu kata kita beri tekanan dan menyusahkan waktu sambutan Hari Deepavali dengan menyekat pergerakan.
“Kita tidak membezakan antara kaum dan agama untuk perkenal SOP kerana semasa Hari Raya Aidiladha, orang ramai juga terikat dengan SOP yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata polis menangkap 379 individu ingkar PKP semalam, sementara 27 pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan dalam Op Benteng. – BERNAMA