Home Sukan Liga Malaysia jadi ‘mangsa’ Covid-19

Liga Malaysia jadi ‘mangsa’ Covid-19

Pemain Perak, Partiban K. Janasekaran cuba melepasi dua pemain Selangor pada perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 antara pasukan Selangor menentang pasukan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2020
Kalendar Liga Malaysia yang mengharungi cabaran cukup sukar musim ini angkara pandemik Covud-19 berakhir dengan pembatalan saingan TM Piala Malaysia.
Tiada siapa yang mahukan itu berlaku, baik pengurusan pasukan, pemain, penyokong malah pengendali liga tanah air, Malaysian Football League (MFL) sendiri namun apakan daya, keputusan penangguhan TM Piala Malaysia oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuatkan semua pihak akur demi kesihatan dan keselamatan bersama.
Ternyata pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia ketika ini memberi impak yang cukup besar kepada semua pihak termasuklah industri sukan bola sepak yang teruk terkena tempiasnya.
Ianya bermula pada 13 Mac lalu yang lalu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL mengumumkan penangguhan Liga Malaysia berkuatkuasa pada 16 Mac 2020 susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Keputusan menangguhkan perlawanan domestik itu turut membabitkan saingan liga amatur kelelolaan Amateur Football League (AFL).
Tiga bulan tidak dibenarkan berlatih, pasukan Liga Malaysia akhirnya boleh menarik nafas lega apabila mereka mendapat lampu hijau untuk menjalani sesi latihan Fasa 1 iaitu tanpa sentuhan atau “body contact” mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bermula 15 Jun lalu.
Bagaimanapun, terdapat empat perkara yang wajib dilakukan oleh pasukan sebelum mereka dibenarkan memulakan latihan iaitu perlu melakukan ujian calitan (swab test), melantik pegawai penyelaras bagi tujuan pemantauan, menamakan pusat latihan dan terakhir sekali adalah mendaftarkan venue latihan menerusi pautan notification.miti.gov.my (MITI).
Sesi latihan pada Fasa 1 perlu diasingkan dengan pecahan kawasan agar tumpuan penglibatan pegawai dan pemain pasukan atas padang dapat diminimakan.
Maksima hanya 10 orang pemain dan dipantau oleh empat orang jurulatih sahaja dalam satu masa manakala waktu latihan dihadkan selama 45 minit bagi setiap sesi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut meluahkan rasa berpuas hati dengan pematuhan SOP pasukan Liga Malaysia pada Latihan Fasa 1 dan seterusnya membawa kepada berita gembira apabila latihan Fasa 2 iaitu secara bersentuhan atau (contact training) akhirnya dibenarkan bermula 15 Julai lalu
Garis panduan yang ditetapkan adalah sama bagi memenuhi empat perkara wajib sebelum ini, tetapi kali ini berbeza daripada aspek sesi latihan apabila tiada sekatan jumlah pegawai dan pemain yang telah berdaftar untuk terlibat di padang selain waktu latihan selama dua jam dibenarkan.
Sejurus selepas itu, MFL mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 28 Ogos lalu selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu manakala perlawanan tertunda CIMB Liga Super (PJ City FC menentang Terengganu FC) dan Liga Premier (UKM FC menentang Kelantan) berlangsung pada 22 Ogos.
Format pertandingan CIMB Liga Super dan Liga Premier berlangsung secara separuh liga sahaja di mana ia akan bersambung dari perlawanan kelima hingga ke-11 manakala aksi Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.
MFL kemudiannya membenarkan semua pasukan mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan terhadap Liga Malaysia yang kembali bersambung bermula 2 Ogos 2020.
Aksi persahabatan pertama yang diadakan adalah antara Selangor dan Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pasa 5 Ogos lalu.
Pada 22 Ogos lalu, aksi tertunda membabitkan perlawanan PJ City FC dan Terengganu FC manakala UKM FC menentang Kelantan dimulakan dengan mengikut SOP dan peraturan ketat tanpa kehadiran penonton.
Pegawai dan pemain perlu memastikan pematuhan jarak sosial sepanjang di dalam bilik persalinan, kawasan Field of Play (FOP) dan Offical Area (OA) manakala hanya pegawai pasukan sahaja dibenarkan duduk di bangku simpanan dengan mengekalkan penjarakan fizikal 1 meter dan memakai pelitup muka.
Bagi pemain simpanan pula, mereka ditempatkan di tempat duduk penonton dengan mematuhi penjarakkan fizikal 1 meter dan memakai pelitup muka.
Pada 28 Ogos lalu, Liga Malaysia secara rasminya bermula membabitkan aksi CIMB Liga Super dan Liga Premier sehinggalah Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi menjulang trofi
CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim selepas menewaskan Sabah 4-1 pada 2 Oktober 2020.
Pulau Pinang pula dinobatkan sebagai juara Liga Premier pada tarikh sama apabila melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan United FC di Stadium Bandaraya dan seterusnya menjulang trofi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejurus berakhir perlawanan menentang Terengganu FC II pada 9 Oktober lalu.
Ternyata pematuhan SOP semua pihak yang terlibat dalam perjalanan CIMB Liga Super dan Liga Premier cukup tinggi apabila tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara, satu perlawanan terakhir CIMB Liga Super dan Liga Premier membabitkan Sabah dan UiTM FC manakala Kuala Lumpur menentang Kuching FA terpaksa dipinda ke tarikh 31 Oktober lalu di Stadium Hang Jebat, Melaka susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan juga Sabah pada ketika itu.
Menjelang tarikh perlawanan, pasukan Sabah terus diuji apabila mereka tidak mendapat kebenaran keluar daripada MKN untuk bertandang ke Semenanjung Malaysia sekali gus terpaksa menarik diri daripada TM Piala Malaysia dan UiTM FC pula diberi kemenangan percuma dalam aksi CIMB Liga Super.
Cabaran demi cabaran, MFL terus mengorak langkah bagi memastikan aksi TM Piala Malaysia pula diteruskan selepas berdepan liku-liku untuk menamatkan saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier pada musim ini.
Sesi undian secara tertutup telah diadakan pada 1 November lalu yang menyaksikan tujuh perlawanan bakal berlangsung pada pusingan pertama TM Piala Malaysia bermula 6, 7 dan 8 November 2020.
Nyata, setiap perlawanan berlangsung dengan lancar menyaksikan semua pasukan dalam misi untuk merebut slot ke suku akhir berdasarkan format kalah mati yang diadakan pada musim ini.
Namun, siapa sangka, kejohanan berprestij itu akhirnya menemui jalan buntu tatkala pasukan dalam persiapan menghadapi pusingan suku akhir apabila keadaan yang semakin membimbangkan melanda negara membawa kepada keputusan PKPB dilanjutkan dan kali ini dilaksanakan di seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob pada 9 November lalu pula mengumumkan bahawa saingan TM Piala Malaysia ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti dan untuk itu, MFL sekali lagi mengemukakan rayuan kepada MKN untuk mempertimbangkan kembali keputusan agar saingan dapat diteruskan di negeri dikecualikan PKPB pada November 2020.
Namun, harapan peminat bola sepak tempatan dan pasukan Liga Malaysia untuk terus beraksi dalam saingan tertua di Asia Tenggara itu terkubur apabila MKN tetap dengan keputusan untuk menangguhkan TM Piala Malaysia selepas mengambil kira risiko wabak Covid- 19.
Khamis lalu, MFL dalam kenyataan akhirnya memutuskan untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 selepas melihat pelbagai faktor termasuklah kontrak pemain-pemain yang kebanyakannya berakhir pada 30 November ini.
Terkilan, juga sedih namun keselamatan semua pihak tetap menjadi keutamaan dan semua pasukan nyata akur serta memahami situasi yang melanda negara ketika ini.
Jika diimbas kembali dalam sejarah seratus tahun Piala Malaysia, hanya sekali sahaja kejohanan keramat ini tidak dapat diadakan iaitu pada Perang Dunia ke-2 yang berlaku pada tahun 1942-1947.
Realitinya, pada era kini, kita boleh diumpamakan sedang berperang sekali lagi, tetapi dengan wabak yang tidak dapat dilihat, juga mengancam jutaan nyawa manusia di seluruh dunia sekali gus menyaksikan kejohanan penuh sejarah ini terpaksa dibatalkan buat kali kedua pada tahun ini.
Nyata, MFL sudah melakukan sedaya mungkin bagi memastikan penyokong sejati bola sepak terus disajikan dengan perlawanan-perlawanan pasukan kesayangan mereka, namun apakan daya, nyawa dan keselamatan semua pihak paling dititikberatkan dan inilah hakikat yang perlu ditelan.
Apa yang pasti, baik FAM, MFL serta semua pasukan Liga Malaysia menghargai kerjasama daripada pihak Kerajaan Malaysia termasuklah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sentiasa menyokong perjalanan arena bola sepak tempatan ini untuk terus berlangsung dengan SOP yang ketat walaupun akhirnya terpaksa akur dengan penularan wabak Covud-19 yang semakin membimbangkan sekali gus ia terhenti sampai di sini sahaja.
Pastinya semua pasukan dahagakan musim yang lebih sempurna untuk tahun 2021 sambil berharap agar wabak Covid-19 ini dapat berakhir. – MalaysiaGazette