KOTA KINABALU – Seorang pesakit kanser yang dipercayai terjatuh daripada tingkat enam bangunan Hospital Likas di sini, terselamat selepas mendarat di bumbung tingkat tiga bangunan itu malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, dalam kejadian 8.20 malam, pesakit lelaki berusia 64 tahun yang sedang dikuarantin itu mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan pinggang.
Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan talian Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS) sebelum sepasukan BBP Jalan Lintas dan BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Selepas menerima maklumat dari saksi di tempat kejadian, pasukan penyelamat dari BBP Jalan Lintas seterusnya membuat sizeup dan penyelamatan dengan menggunakan tangga bangunan hospital bagi menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Agustavia berkata, mangsa diberi rawatan oleh Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa turun dan diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut. – Bernama