Home Nasional Jenazah Tan Sri Zaleha Ismail selamat dikebumi

Jenazah Tan Sri Zaleha Ismail selamat dikebumi

KUALA LUMPUR – Jenazah bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarhamah Tan Sri Zaleha Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota di sini pada 11.15 pagi ini.

Jenazah Allahyarhamah tiba di tanah perkuburan berkenaan kira-kira 10.45 pagi, setelah selesai dimandikan dan dikafankan serta disolatkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati di sini pada 10.30 pagi.

Majlis pengebumian itu dihadiri ahli keluarga serta rakan-rakan termasuk bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, namun tetap dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Shahrizat berkata, arwah Zaleha adalah seorang yang sangat baik hati dan menjadi sumber inspirasinya  sewaktu mula-mula terlibat dalam dunia politik.

“Kak Leha bukan sahaja pemimpin wanita tapi pemimpin negara, sifat baik hatinya menjadikan dunia politik sangat indah dengan cara beliau menyelesaikan masalah dan menjayakan sesuatu.

“Kak Leha adalah legenda dan menjadi ikon bagi ahli Wanita UMNO hari ini,” kata bekas Ketua Wanita UMNO itu ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarhamah.

Zaleha meninggal dunia pada usia 84 tahun di sebuah hospital swasta di sini pada 8.15 malam tadi, setelah mengalami sesak nafas.

Allahyarhamah menjawat jawatan sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 serta Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun sama.

Beliau juga adalah Naib Ketua Wanita UMNO pada 1976 sehingga 1980 dan Ketua Wanita UMNO Kuala Lumpur pada 1977 sehingga 1978. – Bernama