Home Seni Hidup Risau nasib diri dan usahawan lain, Mila Jirin kemuka cadangan kepada kerajaan

Risau nasib diri dan usahawan lain, Mila Jirin kemuka cadangan kepada kerajaan

KUALA LUMPUR – Pengusaha pakej perkahwinan yang juga penyanyi, Mira Jirin risau dengan nasib golongan usahawan sepertinya yang kini berhadapan dengan keadaan kritikal.

Justeru beliau memohon agar kerajaan mengurangkan cukai korporat demi membantu peniaga Bumiputera yang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Mila menerusi Instagram memohon kerajaan tidak mengenakan caj lewat kepada peniaga yang lewat membayar pinjaman pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Mohon kerajaan benarkan cukai kerajaan pada 2019 dan 2020 dibayar secara ansuran dalam masa lebih panjang sehingga 60 bulan.

“Benarkan pengurangan untuk pengusaha yang membelanjakan wang terhadap peralatan seperti pelitup muka, alat pengesan haba, sarung tangan, cecair nyah kuman dan alat pembersih yang lain,” katanya.

Selain itu Mila juga menyarankan kerajaan mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan.

Jelasnya, ini akan dapat membantu majikan memulihkan aliran tunai syarikat.

“Memberikan pengecualian cukai yang lebih besar kepada semua pemilik premis atau lot perniagaan agar semua pemilik ini dapat membantu mengurangkan sewa sekaligus membantu usahawan dalam menstabilkan aliran wang perniagaan,” tambahnya.

Akhir sekali Mila berharap kerajaan dapat menyediakan dana pemulihan yang sesuai mengikut kapasiti dan potensi suatu perniagaan yang memberi kesan kepada ekonomi negara. -MalaysiaGazette