Home Nasional Tiada PKPD baharu hari ini, 568 individu ditahan ingkar arahan PKP

Tiada PKPD baharu hari ini, 568 individu ditahan ingkar arahan PKP

Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang masih dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Rabu lepas diminta tampil menyerah diri serta-merta atau akan ditangkap polis.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak melaksanakan perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baharu hari ini.

Perkara itu tidak disebut dalam kenyataan media Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataannya hari ini, Menteri Pertahanan itu hanya berkata, polis telah menahan 568 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Daripada jumlah itu, seramai 516 individu telah dikompaun manakala 49 individu pula direman dan 3 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (160), aktiviti di pusat hiburan (131), tidak memakai pelitup muka (116), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (43) dan lain-lain (62),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejumlah lima PKPD masih diteruskan iaitu PKPD di Plaza Hentian Kajang, Selangor (11 hingga 24 November); Putra Point, Nilai, Negeri Sembilan (11 hingga 24 November); dan PKPD Taman Mesra, Sandakan hingga 24 November ini.

Dua lagi adalah PKPD Medan 88, Salak Tinggi yang berakhir 25 November dan PKPD Kudat yang akan berakhir 26 November depan.

Dalam pada itu, sejumlah 51,245 pemeriksaan telah dibuat Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Sebanyak 2,471 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,875 anggota telah membuat pemantauan di 3,547 pasar raya, 4,815 restoran serta 1,306 penjaja, 1,225 kilang, 3,240 bank dan 507 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,000 terminal pengangkutan darat, 238 terminal pengangkutan air serta 81 terminal pengangkutan udara.

Tambah Ismail, sehingga semalam, seramai 67,555 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa telah menjalani Kuarantin wajib.

“Kesemua telah ditempatkan di 67 hotel dan 20 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,488 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 388 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 57,679 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 36 negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette