Home Nasional Sindiket penipuan SMS: Enam individu disambung reman

Sindiket penipuan SMS: Enam individu disambung reman

pegawai SB memfailkan saman fitnah menerusi peguamnya M Manoharan pada 23 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas diplomat dan pengarah Bukit Aman

PUTRAJAYA – Enam daripada tujuh individu yang ditahan reman sejak 11 dan 13 November lalu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) disambung reman hari ini, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Aisyah Mohd Yusof di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, empat individu disambung reman dua hari sementara perintah reman terhadap dua lagi termasuk seorang wanita disambung sehari.

Sementara itu, individu yang dibebaskan tersebut diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai, katanya.

Menurut sumber itu, kesemua individu yang disambung reman, berusia antara 39 dan 49 tahun, merupakan pengarah syarikat, pekerja syarikat swasta dan pegawai syarikat telekomunikasi  yang dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar. – Bernama