KUALA LUMPUR – Isu penjaja tanpa lesen dan penjaja berniaga di tempat kurang sesuai adalah masalah yang sukar ditangani oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama ini.
Perkara itu dijangka semakin teruk sekiranya kebenaran ‘wilayah bebas niaga’ yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini.
‘Oleh itu, pengumuman yang dibuat Tan Sri Annuar Musa itu akan menjadikan masalah ini lebih rumit dan mewujudkan lebih pergaduhan dan masalah selepas ini,” kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Annuar yang juga disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin itu hanya menyebabkan lebih ramai peniaga mencabuli peraturan DBKL.
Menurut Teresa, tindakan mewujudkan ”wilayah bebas berniaga” bukan sahaja akan menyebabkan masalah trafik tetapi akan mengakibatkan pergaduhan di antara penduduk dan penjaja berkenaan dan akan menjadikan bandar raya Kuala Lumpur kucar-kacir.
Sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, beliau amat prihatin terhadap nasib peniaga kecil dan masalah pengangguran dalam kalangan warga kota di Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan ini, Teresa turut meminta Annuar dan Zuraida mengambil perhatian aduan tentang wujudnya NGO yang cuba mengutip bayaran daripada mereka yang membuka gerai di bawah program “wilayah bebas berniaga” itu kelak.
Teresa mengulas kenyataan Zuraida baru-baru ini yang menyokong usaha kerajaan melonggarkan undang-undang terhadap peniaga kecil terutama di ibu kota.
Zuraida sebelum itu menyifatkan kenyataan Teresa dalam hal yang sama sebagai tidak berfaedah dan semberono.
Teresa berkata, beliau hairan apabila Zuraida mengkritik tindakannya mempersoalkan keputusannya Annuar, sekali gus menunjukkan Ahli Parlimen Ampang itu tidak sedar tentang masalah penjaja tanpa lesen di banyak tempat di Kuala Lumpur.
Beliau juga mendakwa Zuraida tidak layak memegang jawatan menteri menjaga kerajaan tempatan kerana beliau menggalakkan pelanggaran undang-undang.
”Zuraida dan Annuar haruslah membantu golongan miskin ini dengan mewujudkan lebih pusat penjaja atau pun pasar pagi atau pasar malam di tempat yang sesuai, dan bukan menggalakkan orang ramai mencabuli peraturan kerajaan tempatan dengan membuka gerai dan bebas berniaga di mana-mana tempat di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Kedua-dua menteri itu juga sepatutnya mengadakan rundingan dan bekerjasama dengan wakil rakyat khususnya di Kuala Lumpur untuk mencari jalan membantu golongan B40 dan bukan memutar-b elitkan kenyataannya. – MalaysiaGazette