KUALA LUMPUR – Wang Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaksanaan morotarium bank dianggap sebagai ‘pelampung’ yang akan menyelamatkan rakyat daripada tenggelam ekoran penularan pandemik Covid-19.
Itu metafora Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih enggan membenarkan kedua-dua tuntutan itu dalam Belanjawan 2021.
“Moratorium dan Akaun 1 KWSP seperti pelampung, ini pelampung rakyat punya. Kenapa kita kerajaan susah nak bagi pelampung?
“Rakyat nak tenggelam, Kita bagilah pelampung, anggaplah ini pelampung untuk keselamatan rakyat.
“Bila (situasi) sudah pulih nanti kita ambil baliklah pelampung,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru itu, Noh menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000.
Perkara itu pernah dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam esi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Najib pada Selasa lalu menyatakan Barisan Nasional (BN) menyokong Belanjawan 2021 secara bersyarat dengan meminta beberapa perkara ditambah termasuk lanjutan moratorium pinjaman secara automatik sehingga Jun tahun depan dan membenarkan pengeluaran Akaun 1 sebanyak RM10,000 daripada KWSP. – MalaysiaGazette
pelampong penyelamat ke pelampong untok hanyut kelaut????