Home Pendapat KWSP: Simpanan hari sesak anda

KWSP: Simpanan hari sesak anda

Gambar hiasan

TERNGIANG-ngiang respons awal yang keluar tentang cadangan agar dibenarkan pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam krisis COVID-19 sebagai ‘sesuatu yang sukar’. Setelah mendapat kecaman netizen dan rungutan pelbagai pihak, barulah dibenarkan, itu pun RM500 sebulan sahaja.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan yang memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pencarum yang layak.

Bagi golongan pekerja yang mencarum, pengumuman ini agak mengecewakan kerana caruman di KWSP merupakan tabungan mereka. Pada masa sesak inilah mereka memerlukan duit itu untuk menghadapi krisis ekonomi akibat Covid-19.

Ada yang diberhentikan kerja, ada yang syarikatnya terpaksa gulung tikar, ada yang cuti tanpa gaji, ada yang dikuarantin dan tidak dapat bekerja kerana terkena Covid-19, disyaki Covid-19 atau kontak rapat, ada yang tutup kedai makan kerana ramai pekerja berdekatan bekerja dari rumah dan macam-macam lagi permasalahan pekerja yang membarah.

Jika ini yang berlaku, bagaimana mereka mahu meneruskan hidup? Siapa yang hendak bayar kereta, rumah, makanan dan pelbagai komitmen bulanan yang terpaksa mereka hadapi?

Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah yang ditutup? Apa nasib pemandu bas sekolah dan pengusaha kantin sekolah? Angka mereka ini bukan sedikit kerana ia akan turut memberi kesan pula kepada keluarga mereka.

Andaikan ada 20,000 orang pemandu bas sekolah dan pengusaha kantin sekolah yang terkesan dengan penutupan sekolah, sudah pasti di belakang mereka ada keluarga yang perlu ditanggung, minimum tiga orang. Jadi, ia sudah berjumlah 80,000 orang yang terkesan.

Itu baru tutup sekolah, belum lagi tutup IPT, nurseri, tadika, kedai dan sebagainya, sudah pasti ia boleh mencapai jutaan rakyat yang terkesan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Ya, mereka boleh ikhtiar cari kerja lain atau buka perniagaan lain. Tapi adakah semudah itu mereka boleh dapat terus kerja atau terus untung bila mula berniaga dalam waktu-waktu yang sukar ini? Jika dapat keluarkan terus RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP, bolehlah mereka menampung hidup sepanjang tidak bekerja, sementara mencari kerja yang baru.

Bolehlah dianggap KWSP ini sebenarnya kumpulan wang ‘sesak’ pekerja, tidak semestinya perlu tunggu hingga bersara untuk dikeluarkan simpanannya. Kita tidak tahu bila pekerja itu akan sampai ajalnya, boleh jadi meninggal dunia sebelum bersara.

Oleh itu, cadangan membenarkan pengeluaran daripada KWSP pada waktu yang sukar akibat krisis Covid-19 dengan amaun yang berpatutan amatlah wajar bahkan ia tidak menyentuh langsung kewangan kerajaan.

Pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan agar dibenarkan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP, tidak kurang juga yang bimbang kesannya apabila simpanan pekerja berkurangan. Permudahkanlah, jangan susahkan, itu pesan Rasulullah SAW.

Jika pekerja mempunyai simpanan lebih RM10,000 dalam Akaun 1, rasanya tiada masalah untuk mereka mengeluarkannya. Mungkin KWSP perlu hadkan berapa jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan supaya ia tidak menjejaskan tabungan pekerja untuk menampung hidup selepas bersara nanti.

Tidak timbul persoalan duit simpanan akan habis kerana had pengeluaran telah ditetapkan. Bagi mereka yang hilang kerja dan mendapat kerja baru, sudah pasti akan mencarum semula dalam KWSP seperti biasa agar tabungan persaraan mereka kembali stabil.

Bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang RM10,000, bolehlah mengeluarkan RM500 sebulan seperti yang dibentangkan kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Kenyataan terbaru Tengku Zafrul tentang kesediaan kerajaan menambah baik dan memperluaskan jumlah pencarum yang layak mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP adalah dialu-alukan.

Dengan perkembangan ini, rakyat mengharapkan satu keputusan yang positif terhadap perkara ini dengan mekanisme yang efektif untuk menyalurkannya walaupun perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dengan KWSP.

Jika tidak, yang hilang kerja teruskan mencari kerja lain, yang gulung tikar teruskan membuka perniagaan lain, pengusaha bas sekolah teruskan menjadi pemandu Grab, pengusaha kantin teruskan membuka gerai makanan, pelajar sekolah dan mahasiswa yang dalam kesempitan, teruskan belajar.

Rakyat minta tidak banyak sebab tengah sesak. Jika ini pun sukar dipenuhi, bersabarlah wahai rakyat, fahamilah kerajaan dan bantulah kerajaan membuat keputusan dengan membuat keputusan dalam PRU15 nanti.

Mohammad Hafizuddin bin Abdul Mukti

Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia