Home Ekonomi Felda lulus 67 projek bernilai RM10.7 juta

Felda lulus 67 projek bernilai RM10.7 juta

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Sebanyak 67 projek telah mendapat kelulusan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan nilai RM10.7 juta bagi projek tanaman dan ternakan di bawah rancangan agensi itu di seluruh negara sehingga akhir Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebahagian projek itu telah dimulakan menerusi pembekalan input pertanian atau peralatan yang telah mula dibekalkan oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai ejen perolehan FELDA untuk Program Pembangunan Peneroka (PPP).

Jelas beliau, di samping itu, sebanyak 46 projek lagi melibatkan 32 projek individu dan 14 projek koperasi dengan nilai RM4.5 juta akan diluluskan dalam sedikit masa lagi.

“Bagi memastikan kelancaran PPP, FELDA telah melaksanakan model baru pelaksanaan PPP bersama Agrobank yang mana program Quick Win untuk 10 koperasi dan 40 projek individu sedang dijalankan dengan anggaran nilai menghampiri RM11 juta yang dibiayai oleh FELDA melalui dana PPP.

“Sebagai contoh, RM7 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan tanaman nanas MD2 di Besout yang memanfaatkan 1,501 peserta.

“Untuk menjayakan projek PPP, Projek Rintis FELDA Bukit Rokan yang pertama telah dilaksanakan pada November 2019 di atas tanah seluas 50.7 ekar dan dijangka memanfaatkan seramai 240 peneroka.

“Selain daripada penglibatan peneroka dan generasi baharu sebagai peserta program individu melibatkan tanaman cili, cendawan, sayur-sayuran dan ternakan arnab, mereka juga digalakkan untuk bekerja di tapak projek. Sehingga kini, terdapat 43 orang warga FELDA telah pun mula bekerja di tapak projek,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN – Sik) yang bertanyakan mengenai projek tanaman kontan bagi memulihkan prestasi FELDA bernilai RM1 billion dalam tempoh lima tahun yang diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada tahun 2019.

Mustapa menambah, bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan peneroka melalui program PPP, FELDA juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pertanian pintar (smart farming).

Jealasnya, bagi tujuan ini, FELDA telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Universiti Putra Malaysia untuk membangunkan teknologi yang bersesuaian seperti teknologi internet of things (IoT) dan drone. – MalaysiaGazette

+ posts