Saudara Pengarang,
Saya sebagai rakyat biasa, tidak berpangkat, tiada sebarang gelaran, tiada saluran untuk menyuarakan pandangan, tetapi saya tidak akan berputus ada dalam menyatakan pendirian.
Pendirian yang saya maksudkan adalah mengenai Belanjawan 2021, yang menjadi tumpuan rakyat dan lebih awal lagi mendapat panduan daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri melalui titah peringatan baginda supaya bajet tahun depan tidak dipolitikkan.
Tidak lama lagi, selepas beberapa hari berbahas, memberi pendapat, mengkritik atau memberi cadangan, nasib Belanjawan 2021 akan ditentukan.
Sama ada bajet negara diluluskan atau tidak, bergantung kepada 221 Ahli Parlimen yang mengisi Dewan Rakyat, yang dipilih pengundi untuk menjaga kepentingan masyarakat.
Bagi saya, Belanjawan 2021 secara keseluruhannya cukup komprehensif, meliputi semua peringkat dan lapisan rakyat, mengambil kira segala situasi semasa dan isu yang melanda negara kita.
Begitu banyak yang bagus dibentangkan Menteri Kewangan di Parlimen pada 6 November lalu, keperluan berbelanja untuk sektor kesihatan, membela nasib golongan memerlukan dan meringankan beban rakyat yang terkesan angkara virus berbahaya, musuh yang tidak kelihatan.
Tumpuan kerajaan juga adalah kepada usaha mencipta peluang-peluang pekerjaan, menyalurkan bantuan kewangan kepada kumpulan sasaran dan segala perkara lain yang berkaitan.
Kalau lihat secara keseluruhannya, dengan kekangan kewangan yang dihadapi, saya kira kerajaan sudah buat yang terbaik untuk meletakkan kembali ekonomi negara kita pada kedudukan yang betul dan memberi bantuan kepada majikan, pekerja dan rakyat daripada bujang sehinggalah yang berkeluarga.
Tidak perlu rasanya saya menyiarkan semula apa yang diumumkan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berdiri kira-kira dua jam berucap di Dewan Rakyat tempoh hari.
Boleh ‘google’ sahaja di internet pembentangan penuh Belanjawan 2021. Jika bajet itu tampil dalam bentuk teks, baca satu persatu dan jika dalam format video atau audio, dengar sehingga habis.
Selain satu dua perkara yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai boleh dimanipulasi untuk dijadikan isu, keseluruhan RM322.5 bilion yang dicadangkan dalam belanjawan tahun depan adalah jelas sasarannya
Rata-rata cadangan peruntukan adalah untuk rakyat atau perkhidmatan awam serta sektor ekonomi yang kepentingannya juga adalah rakyat.
Bagi isu pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Menteri Kewangan dan pengurusan dana persaraan itu sudah pun memberi penjelasan.
Untuk KSWP, apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 boleh dipinda atau diputuskan kemudian pada bila-bila masa yang perlu, sama seperti keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 selama setahun melalui skim i-Lestari yang diputuskan di luar belanjawan dan tanpa perlu melalui kelulusan Parlimen.
Dalam isu berkaitan JASA pula, saya mengajak semua melihat lebih jauh, melihat peluang kerja yang bakal tercipta bagi mengisi kekosongan di agensi itu, menangani penyebaran berita palsu.
Lihat juga adakah RM81 juta yang diperuntukkan kepada JASA yang bagi saya adalah peratusan sangat-sangat kecil daripada RM322.5b nilai keseluruhan bajet, boleh menjejaskan perbelajaan kerajaan untuk rakyat dan perkhidmatan awam pada tahun depan.
Adakah kerana isu pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 KWSP dan JASA, kepentingan yang jauh lebih besar harus dikompromi? Diletakkan pula syarat tertentu kepada kerajaan andai Belanjawan 2021 mahu menerima sokongan untuk diluluskan?
Adakah wajar bajet tahun depan itu digagalkan seterusnya melihat kerajaan tidak boleh berbelanja membantu rakyat majoriti, melihat kakitangan awam termasuk petugas barisan hadapan tidak bergaji.
Apa perlunya menjadikan Belanjawan 2021 sebagai mangsa ketika ancaman Covid-19 mengakibatkan rakyat berdepan kesukaran dalam pelbagai bentuk dan sektor ekonomi terjejas teruk.
Bagi memastikan bajet negara diluluskan, marilah semua berkompromi, usahlah terlalu berpolitik sehingga kepentingan rakyat pun mahu dijentik.
Hassan Baharuddin
Kuala Terengganu
Terengganu