Home Nasional Kerja pembersihan jalan bukan lagi kendalian SWM Environment

Kerja pembersihan jalan bukan lagi kendalian SWM Environment

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pembersihan jalan oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di beberapa jalan utama perbandaran di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak Januari 2020.

Penyerahan perkhidmatan pembersihan tersebut yang melibatkan 1,449 jalan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu selaras dengan arahan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), perkhidmatan pembersihan jalan-jalan tersebut dikeluarkan dari skop kerja syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah kerana jalan-jalan tersebut berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR serta di luar daripada skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (Akta 672).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, penamatan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment itu melibatkan 231 jalan JKR di Johor, 1,062 jalan JKR di Melaka dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan.

”Ia meliputi perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera road sweeper, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan JKR, termasuk semua jalan utama di pusat bandar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau lagi, dengan pengambilalihan perkhidmatan pembersihan oleh JKR, maka sebarang aduan atau isu kebersihan berhubung jalan JKR perlu diajukan kepada pihak yang berkaitan.

“Bagaimanapun, SWM Environment sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memberi penerangan kepada orang awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penyerahan
perkhidmatan pembersihan Jalan JKR.

Malah, SWM Environment sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti di kawasan-kawasannya. – MalaysiaGazette