Home Nasional Bekas pemain bola sepak NS didenda RM8,000 kerana kemuka dokumen palsu

Bekas pemain bola sepak NS didenda RM8,000 kerana kemuka dokumen palsu

Gambar hiasan

SEREMBAN – Bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak Negeri Sembilan hari ini didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan pindahan wang, September lepas.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Matheus Fernandes Vila Real, 28, yang  turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Matheus yang berasal dari Brazil didakwa telah menipu Nur Farlida Asro Ramzi Sulaiman, 33, wakil CIMB Bank Seremban, dengan memperdayakannya untuk mempercayai Borang Permohonan Kiriman Wang dan invois palsu bagi pembelian 5,825 unit ‘dye ink’ bernilai RM48,879.91 bertarikh 23 Sept lepas di atas nama Wind Pacific Consulting Ltd adalah dokumen yang benar bagi tujuan permohonan pindahan wang sehingga mendorong kelulusan diberikan menerusi transaksi dalam talian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Seremban pada 30 Sept lepas dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Portugis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Matheus tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang hadir dengan memakai jaket berwarna kelabu dalam rayuannya mengaku kesal dengan perbuatan itu dan memohon maaf dengan alasan tidak memahami undang-undang dan prosedur pindahan wang di negara ini selain menyatakan pindahan itu adalah untuk menyara keluarganya di Brazil.

“Saya faham kontrak saya dengan kelab (Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan) telah tamat dan saya tidak mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan. Saya harap kes ini dapat diselesaikan dan saya boleh kembali ke Brazil,” katanya.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Matheus yang bersama pasukan Negeri Sembilan selama dua tahun bermula 2019, sebelum ini beraksi bersama beberapa buah kelab bola sepak di negara kelahirannya.

— BERNAMA