Home Sukan Ada kemungkinan berlaku pecah amanah dalam KFA – Exco

Ada kemungkinan berlaku pecah amanah dalam KFA – Exco

ALOR SETAR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu bahawa terdapat kemungkinan berlaku pecah amanah dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata salah laku itu didakwa berlaku susulan terdapat beberapa keraguan antaranya berkaitan pemotongan gaji pemain untuk bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pembayaran kepada LHDN tidak dibuat walaupun gaji pemain dipotong selama dua tahun berturut-turut, ini bukan sahaja menganiaya pemain malah menipu kerajaan.

“Selain itu terdapat juga pembelian meragukan seperti lambakan baju dan barang ‘merchandise’ (niaga) yang tidak dibawa masuk ke mesyuarat eksekutif KFA yang diadakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Asmirul Anuar Aris (Bebas-Kubang Rotan) semasa sidang DUN di sini, hari ini.

Mohd Asmirul ingin tahu daripada manakah sumber kewangan diperoleh dan bagaimanakah KFA menjelaskan beban hutangnya termasuk tunggakan gaji pasukan hijau kuning itu.

Sebelum itu, Mohd Firdaus berkata tidak menjadi masalah kepada pengurusan baharu untuk menjelaskan hutang-hutang lama yang ditinggalkan oleh pihak pengurusan terdahulu, namun apa yang menjadi masalah adalah jika benar berlaku salah laku seperti pecah amanah dalam KFA.

Terdahulu semasa menjawab soalan Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada), Setiausaha Kehormat KFA itu berkata sebahagian baki hutang KFA masih belum dapat diselesaikan kerana masih menunggu keputusan daripada tindakan sivil yang diambil terhadap KFA.

“Terdapat juga hutang-hutang yang meragukan yang mungkin boleh dirujuk kepada ‘criminal breach of trust’ (pecah amanah),” katanya semasa menjawab soalan Salim yang ingin tahu mengenai hutang-hutang KFA sebelum ditukar kepada kelab bola sepak (FC).

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui selepas sidang DUN berkata perkara berkaitan salah laku itu sudah dilaporkan kepada jabatan berkaitan dan KFA sedang menunggu tindakan lanjut.

“Saya difahamkan ada dua penyata gaji dibuat, untuk badan berkanun lebih rendah, manakala untuk pemain diberikan penyata sebenar yang ada potongan dan caruman kepada badan berkanun berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya terdapat juga keraguan pada jumlah kutipan tabung yang dibuat sebelum ini untuk membiayai kos guaman seorang pemain yang sudah berpindah ke pasukan lain.- BERNAMA