Home Belanjawan 2021 RM200 juta untuk rancakkan semula industri pelancongan – Nancy

RM200 juta untuk rancakkan semula industri pelancongan – Nancy

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR- Keluhan pemain industri pelancongan yang mendakwa mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam Belanjawan 2021 adalah kerana ada peruntukan yang tidak dijelaskan semasa sesi pembentangan pada 6 November lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, Belanjawan 2021 memperuntukkan wang yang lebih besar kepada kementerian berkenaan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kalau dilihat semasa pembentangan Belanjawan 2021, memang bunyinya seperti tidak membantu sangat industri pelancongan tetapi sebenarnya apa yang tidak diumumkan oleh Menteri Kewangan adalah peruntukan khusus untuk pelancongan secara keseluruhan bernilai RM200 juta.

“Ini bukan peruntukan tambahan sebaliknya memang telah disediakan dalam Belanjawan 2021 cuma tidak dijelaskan secara terperinci.

“Disebabkan itu, selepas pengumuman Belanjawan 2021, saya terus bertemu dengan para pemain industri untuk memberi penerangan secara terperinci.

“Kami memahami kekecewaan yang disuarakan oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan sebagainya kerana sekali imbas, tiada peruntukan yang difokuskan kepada mereka.

”Namun selepas diberi penerangan, mereka kini memahami bahawa peruntukan RM200 juta itu mempunyai hubungan langsung dengan pemain industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya semasa taklimat khas media di sini hari ini.

Nancy menjelaskan, peruntukan khas sebanyak RM200 juta itu terletak di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang melibatkan pelbagai inisiatif dan insentif antaranya diskaun pengangkutan, membeli-belah dan perkhidmatan; diskaun kepada petugas barisan hadapan; Kempen Meet in Malaysia; baucer penginapan; diskaun destinasi pelancongan; diskaun pakej percutian keluarga dan penyemarakan seni budaya.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri menunjukkan Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah Belanjawan 2021 dalam sidang media di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2020.

Secara keseluruhan, MOTAC menerima peruntukan sebanyak RM1.14 bilion pada Belanjawan 2021 berbanding RM1.1 bilion tahun ini manakala peruntukan untuk perbelanjaan mengurus juga ditingkatkan berbanding sebelumnya.

Selain itu, terdapat lagi penambahan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada MOTAC dalam Belanjawan 2021.

Ini termasuk peruntukan kepada industri kraftangan sebanyak RM57 juta pada Belanjawan 2021 berbanding RM51 juta sebelumnya.

Peruntukan kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) juga turut diberikan pada tahun ini, katanya.

Tambah Nancy, memandangkan industri pelancongan masih belum dapat dipulihkan akibat pandemik yang masih melanda negara serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri, MOTAC berpendapat ini adalah waktu yang paling sesuai untuk penggiat industri pelancongan menyertai program upskilling dan reskilling.

“Ini adalah waktu paling sesuai untuk penggiat industri pelancongan untuk menambah kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada.

“Pemandu-pemandu pelancong terutamanya perlu mendapat latihan semula bagi menambah kemahiran mereka, kami ada menyediakan program untuk mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, semasa pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

Sejumlah RM20 juta pula diperuntukkan untuk menambah baik infrastruktur dan mempromosi Kampung-Kampung Budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Mengulas perkara itu, Nancy berkata, MOTAC amat gembira dengan peruntukan tersebut kerana jelasnya, perancangan jangka pendek kementerian adalah mengukuhkan promosi pelancongan domestik kerana pintu sempadan masih belum dibuka untuk pelancong asing datang ke negara ini.

Maka, produk-produk pelancongan domestik perlulah disediakan dan dinaik taraf untuk menarik pelancong tempatan.

“Masih ada rakyat yang takut untuk keluar melancong kerana vaksin belum ditemui.

“Ada yang selesa untuk keluar melancong di tempat-tempat yang tidak mempunyai ramai orang atau mereka suka bercuti dengan kumpulan yang kecil atau keluarga terdekat sahaja, jadi di sini terdapat keperluan untuk kita menyediakan produk-produk sedemikian bagi memenuhi permintaan pelancong,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette