Home Nasional Belanjawan 2021 sisihkan pekerja sokongan

Belanjawan 2021 sisihkan pekerja sokongan

Petugas pembersihan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan laluan yang membawa mayat Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia mendakwa Belanjawan 2021 mengabaikan kumpulan barisan depan lain yang turut sama memerangi wabak Covid-19.

Oleh itu, JPKK dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia mendesak Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengecualikan mereka daripada faedah dan manfaat Belanjawan 2021, tanpa mengira kelas, pekerjaan, nilai, atau asal usul mereka.

”Pekerja pembersih di hospital, anggota keselamatan sekolah dan tukang kebun yang mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari di barisan depan untuk melawan wabak Covid-19 diabaikan dalam Belanjawan 2021 disebabkan sistem kontrak pekerjaan mereka.

”Mereka tidak dianggap sebagai frontliner oleh Kerajaan Malaysia kerana mereka diupah oleh pihak ketiga untuk bantuan sokongan di premis kerajaan.

”Oleh demikian, golongan tidak layak dilindungi dengan Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan (sehingga wabak tersebut berjaya diatasi) dan pembayaran sekali RM500 sebagai penghargaan atas sumbangan oleh barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kedua-duanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut mereka, pengecualian ini ternyata bertentangan dengan nilai teras pertama Belanjawan 2021 Kerajaan Persekutuan iaitu untuk Melindungi Kesejahteraan Rakyat.

JPKK dan kesatuan itu berkata, pekerja-pekerja ini juga terdedah kepada risiko penularan Covid-19 setiap hari kerana kekurangan peralatan pelindung piri (PPE) seperti topeng muka, pelindung muka, sarung tangan, dan lain-lain ketika mereka bekerja di hospital dan sekolah.

Sedangkan, kalau PPE diberikan kepada pembersih hospital, anggota keselamatan sekolah dan tukang kebun, ia juga membantu mencegah/menghentikan penyebaran Covid-19 kepada anggota keluarga mereka dan orang lain.

Kata mereka, Kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM318 juta untuk pembelian PPE dalam Belanjawan 2021, namun kesihatan pekerja pembersih hospital, anggota keselamatan sekolah, dan tukang kebun ini tidak berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Sebabnya, mereka bukan sebahagian daripada penjawat awam tetapi pekerja kontrak yang diupah oleh pihak ketiga, justeru bekalan PPE pekerja-pekerja ini berada di bawah tanggungjawab syarikat kontrak mereka.

Selain itu, katanya, penswastaan sistem sokongan untuk premis kerajaan berdepan dengan pelbagai masalah merangkumi pembayaran gaji lewat, pembuangan kerja secara tidak adil, tiada kenaikan gaji, dan lain-lain.
Penswastaan tidak menyelesaikan masalah penjimatan kos untuk perbelanjaan kerajaan tetapi memindah masalah tersebut kepada kos sosial seperti masalah kesihatan dan pertikaian di tempat kerja yang memerlukan lebih banyak sumber daripada kerajaan.

Sudah tentu, pandemik Covid-19 memperburukkan masalah ini apabila pekerja-pekerja ini dilupakan dan tidak dilindungi.

Berikutan itu, JPKK dan kesatuan ini mendesak Kerajaan Persekutuan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Menteri Sumber Manusia untuk menggolongkan semua kakitangan yang berada di barisan depan pertempuran melawan pandemik Covid-19 agar segera berada dalam senarai bantuan Belanjawan 2021, tanpa mengira kelas, pekerjaan, nilai, atau asal usul. – MalaysiaGazette

+ posts