Home Nasional MBSJ kesal pemain industri tidak hormati undang-undang

MBSJ kesal pemain industri tidak hormati undang-undang

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan.

SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pemain industri yang tidak menghormati undang-undang dan mementingkan keuntungan membina papan iklan haram tanpa membayar sesen pun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan, lebih malang apabila pihak industri enggan berbincang dan tidak memberi maklum balas dengan pihaknya apabila notis mengenai struktur haram itu diberikan.

“Malaysia mempunyai peraturan yang secukupnya, sekiranya tiada self regulation daripada pemain-pemain industri daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan di dalam industri ini.

“Tiada makna kepada undang-undang yang kita ada, Kementerian Kerja Raya (KKR) ada Akta Pengangkutan Jalan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ada akta, jalan parit dan bangunan.

“Semua perkara ini diadakan adalah untuk menyusun kawasan-kawasan kita, mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya dan demi keselamatan.

“Semua perkara ini tidak dihormati pemain industri, setelah memberi notis dan cuba berbincang dengan mereka, tetapi tiada maklum balas yang sewajarnya daripada mereka, kita terpaksa mengambil tindakan sebegini (perobohan),” katanya kepada pemberita di Lebuhraya Persekutuan, hari ini.

Terdahulu beliau menyertai Operasi Tindakan Penguatkuasaan Struktur Paparan Iklan di bawah rizab Jalan Persekutuan di KM17.3 hingga 17.7 Lebuhraya Persekutuan.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan KKR, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 20 struktur paparan iklan haram di atas tanah Rizab Jalan Persekutuan milik KKM dirobohkan setelah notis 30 hari diberikan kepada pemain industri sebelum ini.

Sebelum ini, berdasarkan tinjauan dan semakan oleh JKR Petaling, JKR Gombak, JKR Hulu Langat, JKR Klang dan JKR Sepang mendapati sebanyak 350 struktur paparan haram telah dibina tanpa kelulusan caj pendudukan.

Dalam perkembangan sama, Noraini tidak melihat kutipan bayaran lesen satu kehilangan hasil PBT itu, sebaliknya pembaziran hasil kerajaan berlaku apabila pihaknya terpaksa melakukan operasi yang membabitkan kos yang tinggi.

“Ia bukan hanya tentang caj yang boleh kita kutip walaupun kita boleh kutip banyak, daripada struktur saiz sebegini, biasanya kita boleh kutip antara RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz, itu dari segi struktur sahaja.

“Kemudian kita ada lesen visual, kalau dari segi lokasi, bagi tanah-tanah milik KKR, biasanya ia boleh beri kebenaran untuk penyewaan tapak tersebut.

“Pada saya ini adalah pembaziran hasil kerajaan sebab hari ini pegawai-pegawai boleh buat kerja lain tetapi terpaksa membuat kerja-kerja perobohan ini, oleh kerana tiada pemain-pemain industri mahu bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette